Header Ads

Seorang lagi meninggal dunia

EZZUDIN disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, hari ini. -Foto Ihsan keluarga

KANAK-KANAK yang parah dalam kemalangan meragut empat nyawa di Kilometer 445 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Rawang, Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mangsa, Ezzudin Noorakihirludin Alam, 10, meninggal dunia 8.45 pagi tadi.

Loading...

“Doktor yang merawat mangsa memaklumkan otak mangsa tidak berfungsi dan disahkan meninggal dunia pada 8.45 pagi tadi.

“Jenazah mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarganya pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, sepupu mangsa, Nur Fakhruddin Mohd Idrus, 27, berkata, jenazah Ezzudin dibawa ke kampung halaman bapanya, Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48, yang turut maut dalam kemalangan itu di Kampung Sama Gajah, Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk dikebumikan.

“Jenazah Ezzudin dimandikan dan disembahyangkan di surau Hospital Sungai Buloh sebelum dibawa balik ke Permatang Pauh.

“Jenazahnya kini sedang dalam perjalanan ke Kampung Sama Gajah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sama Gagah sebaik dijangka tiba ke sana selepas Asar,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Ezzudin antara lima yang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan kira-kira 12 tengah hari itu yang membabitkan treler tanpa muatan dengan Perodua Myvi, Nissan Almera, MPV Perodua Alza, MPV Toyota Vellfire, kereta BMW dan bas ekspres.


Mereka yang maut adalah pemandu Toyota Vellfire, pemandu Alza dan dua penumpang kenderaannya iaitu Noorakhirludin Alam, Nur Fitrah Rosman, 24; Nurbaya Mohd Zaki, 24; dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24.

Semua disahkan maut di lokasi kejadian.

Difahamkan kemalangan berlaku apabila treler berkenaan yang menghala ke utara merempuh kereta Perodua Myvi dan melanggar kereta Nissan Almera.

Akibat pelanggaran itu, treler terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah bas ekspres.

MPV Perodua Alza, MPV Toyota Vellfire dan kereta BMW yang berada di laluan dari arah utara menghala ke Kuala Lumpur tidak sempat mengelak lalu melanggar treler berkenaan.

No comments


Loading...
loading...