Header Ads

Rasuah Bukan Bahan Jenaka - Syed Saddiq


MUAR – Jangan jadikan rasuah sebagai bahan jenaka atau gurau senda sebaliknya laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya ia berlaku di tempat masing-masing, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata masyarakat perlu memupuk budaya baharu iaitu melihat rasuah sebagai teruk dan memberi impak negatif bukan sahaja kepada golongan belia bahkan kepada bangsa dan negara.

“Rasuah perlu dilihat sebagai teruk dan apa sahaja jenis rasuah walau sekecil RM5 atau sehingga berbilion ringgit ianya tetap dianggap rasuah dan bukan bahan ketawa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cermin Mata sempena Program Tanggungjawab Sosial Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Sekolah Kebangsaan Parit No. 5, di sini hari ini.


Loading...

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pematuhan LHDN, Abdul Manap Dim, Pengarah LHDN Johor, Mohd Ramli A. Wahid dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bagi tempoh 2013 sehingga Mei lepas, sebanyak 2,238 orang atau 55.2 peratus pesalah laku rasuah adalah golongan belia.

Dr Wan Azizah berkata perkara berkenaan amat membimbangkan kerana golongan itu bakal pemimpin negara pada masa akan datang.

Syed Saddiq, yang juga Anggota Parlimen Muar, berkata kementerian telah menggariskan tiga cadangan untuk membanteras gejala rasuah bagi mengelakkan ia lebih  berleluasa, khususnya dalam kalangan belia seperti memperkasakan lagi peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Selain itu, melakukan  pindaan undang-undang termasuk pengasingan kuasa dan campur tangan politik serta liputan meluas berkaitan sesuatu kes rasuah,” katanya.

Terdahulu, seramai 39 murid dari kalangan golongan kurang berkemampuan, menerima sumbangan cermin mata, manakala empat sekolah dalam parlimen Muar, turut menerima alat bantuan mengajar.

Mengulas mengenai penularan video berdurasi 28 saat yang menunjukkan Syed Saddiq mengutip sampah yang ditinggalkan penyokong bola sepak, ketika perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, katanya tindakan terbabit bukanlah sesuatu yang dirancang.

Beliau berkata sebaliknya perbuatan berkenaan dilakukan secara spontan, dengan harapan ianya akan menjadi amalan penyokong ketika berada di stadium.

— BERNAMA

No comments


Loading...
loading...