Header Ads

PRK Sg Kandis Diharap Jadi Titik Permulaan Kerjasama UMNO-PAS


KLANG -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, diharap dapat menjadi titik permulaan kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

Calon BN bagi PRK berkenaan, Datuk Lokman Noor Adam berkata kerjasama politik itu penting kerana kedua-dua parti itu telah diberi ‘teguran’ oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, yang menyaksikan BN kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Malah, katanya, beliau secara peribadi berharap UMNO dan PAS boleh bergabung sama ada dalam satu gabungan atau satu parti suatu hari nanti.


Loading...

“Jika perlu satu hari nanti, UMNO dan PAS wujudkan satu parti politik dan mereka duduk di dalam bersama-sama...jika tidak boleh, maka kita perlu duduk dalam entiti masing-masing tetapi kita perlu duduk di dalam satu gabungan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout bersama pengundi di sini hari ini.

Lokman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam, yang menggambarkan PRK DUN Sungai Kandis sebagai unik kerana menjadi 'ujian' awal kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

Menurut anggota Majlis Tertinggi UMNO itu lagi, saudara Islam sepatutnya bermuafakat dalam apa jua perkara terutama yang memberi kemaslahatan kepada umat itu.

Dalam PRK itu, Lokman berdepan calon PRK, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas K. Murthy.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas PRU14, berikutan kematian penyandang kerusi itu Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

-- BERNAMA

Loading...