Header Ads

PM: 'SST Kurang Bebankan Rakyat'

Foto: Kosmo

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berkata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kurang membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan kerajaan terdahulu.

Katanya, dari segi jumlah kutipan, SST hanya memungut RM20 hingga RM25 bilion berbanding RM42 bilion pungutan GST.

"Bermakna, rakyat diselamatkan sebanyak RM20 bilion kerana kita amalkan SST," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, hari ini.

Loading...

Mahathir turut menyangkal dakwaan kononnya SST akan menaikkan harga barang kerana banyak barangan tidak dikenakan cukai berkenaan.

Tegasnya, banyak barangan yang dahulunya dikenakan GST tidak dikenakan SST, sekali gus rakyat menanggung beban yang lebih ringan daripada pengenaan SST.

Mahathir berkata, GST digunakan untuk mengaut kekayaan, namun rakyat terpaksa membayar cukai terhadap barangan keperluan harian mereka.

"Tidak ada asas yang mengatakan SST akan menaikkan harga (barang) kerana bukan jumlah SST itu sebanyak 16 peratus atau pun 10 peratus, ada barang tertentu yang tidak dikenakan SST sama sekali dan ada yang dikenakan hanya lima peratus ataupun 10 peratus bergantung kepada item yang terbabit," katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sebelum ini mengumumkan bahawa dibawah pengenalan semula SST, peruntukan untuk perkhidmatan akan dikenakan cukai enam peratus manakala cukai jualan pada kadar 10 peratus - sama seperti dilaksanakan sebelum GST dimulakan pada 1 April 2015.

Mengenai terdapat badan profesional yang kecewa kerana tidak diberi ruang oleh kerajaan untuk terbabit  dalam perbincangan mengenai rang undang-undang draf SST, Mahathir berkata, mereka boleh menemui Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bagi memberikan sebarang cadangan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri  berkata, CEP sudah mengadakan banyak pertemuan dengan pihak berkepentingan (stake holders) dalam membuat sebarang keputusan. - Bernama

No comments


Loading...