Header Ads

Pesakit nahas ambulan meninggal

Keadaan ambulan yang terbabas dipercayai akibat tayar meletup.

SUNGAI PETANI – Mangsa kemalangan ambulan yang juga merupakan pesakit yang dijadualkan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar akibat jangkitan serius, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan hospital terbabit, 8.40 malam tadi.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pihaknya menjalankan proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Loading...

Menurutnya, pesakit, 65, merupakan salah seorang mangsa kemalangan bersama lima yang lain membabitkan ambulan yang terbabas semasa dalam perjalanan ke HSB sekitar jam 6.25 petang, semalam.

“Kemalangan berlaku di kilometer 81.4 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara berhampiran pekan Gurun di mana ambulan berkenaan membawa pesakit dan empat yang lain menuju ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya.

Jelasnya, pesakit dijadualkan mendapatkan rawatan kepakaran di HSB.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berwajib namun maklumat awal mendapati ianya berkemungkinan berkaitan dengan tayar ambulan yang meletup dan mengakibatkan ambulan terbabas ke tepi lebuh raya.

“Selain siasatan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan menjalankan siasatan terperinci berkaitan insiden termasuk menyemak aspek berkaitan ambulan,” katanya.

Difahamkan, selain pemandu, 40, terdapat lima penumpang terdiri daripada pegawai perubatan, seorang jururawat terlatih, pesakit, pembantu perawat kesihatan dan seorang waris pesakit.


“Panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.31 petang dan rapid response HSB telah tiba di tempat kejadian pada 6.59 petang.

“Rawatan kecemasan telah diberi dan empat orang mangsa kemalangan termasuk pesakit telah dibawa dengan dua buah ambulan ke HSB.

“Manakala dua lagi kakitangan iaitu pemandu dan pembantu perawatan kesihatan dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya.

No comments


Loading...