Header Ads

Penganggur mengaku tidak bersalah ceroboh Istana


JOHOR BAHRU - Penganggur mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan kes ceroboh Istana Besar Bukit Serene, Khamis lalu.

Tertuduh, Razali Tafri, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Loading...

Pertuduhan pertama, Razali didakwa cuba melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah iaitu telah mencederakan seorang anggota Askar Timbalan Setia (JMF).

Pertuduhan tersebut dibicarakan mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara sampai tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Razali didakwa telah menceroboh kawasan istana dan berada dalam kawasan larangan tanpa kebenaran sah. Untuk kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta yang sama.

Manakala pertuduhan terakhir, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan khianat dengan memandu serta melanggar penghadang jalan di kawasan Pintu Pagar C, Istana Bukit Serene sehingga mengakibatkan kerosakan.

Tertuduh diwakili peguam Arwa Abdul Rahman itu didakwa melakukan ketiga-tiga pertuduhan terbabit di lokasi dan tempat yang sama iaitu dalam kawasan Istana Besar Bukit Serene kira-kira jam 11.15 malam, Khamis lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali tidak menawarkan sebarang ikat jamin dengan merujuk Seksyen 8 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 yang mana kesalahan di bawah akta berkenaan tidak boleh dijamin.


Mahkamah kemudian bersetuju dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sebelum menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd memaklumkan tentang penahanan lelaki terbabit yang menceroboh kawasan Istana Bukit Serene dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, dia ditahan pada jam 11.15 malam selepas memandu masuk Toyota Hilux ke kawasan istana.

No comments


Loading...