Header Ads

Pemilihan PKR: Shamsul Sokong Gandingan Anwar-Azmin


Bahang pemilihan PKR semakin terasa apabila seorang lagi pemimpinnya menyatakan sokongan terbuka terhadap calon bagi jawatan tertinggi parti itu.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden, manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalannya.

Kata Shamsul, pengalaman luas Anwar dalam kerajaan dan pernah dinobatkan sebagai menteri kewangan terbaik Asia, cukup untuk melayakkan beliau memegang jawatan itu.

"Sebagai pelopor gerakan reformasi, amat wajar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin KEADILAN (PKR) demi memastikan agenda reformasi dapat dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan media.

Loading...


Namun sebagai presiden, Shamsul berkata Anwar memerlukan gandingan yang saling melengkapi dan Azmin adalah individu yang layak.

"Kesetiaan ditonjolkan oleh Datuk Seri Azmin Ali terhadap perjuangan reformasi tidak boleh dipersoalkan.

"Beliau tidak pernah lari daripada perjuangan reformasi. Melalui perjuangan reformasi, beliau telah diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan telah memimpin Selangor ke arah kecemerlangan melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan Smart Selangor.

"Kini beliau diamanahkan sebagai menteri Hal Ehwal Ekonomi, satu portfolio yang kanan dan amat penting dalam pentadbiran di bawah Pakatan Harapan," kata Shamsul.

Menurutnya, pengalaman luas kedua-dua pemimpin ini pastinya akan memberikan nilai tambah kepada PKR sebagai 'parti terkuat' kerajaan.

Ini juga bagi melaksanakan agenda reformasi sebagai asas kepada pembentukan dasar kerajaan Pakatan Harapan apabila Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kelak.

"Masanya sudah tiba untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin parti sebagai presiden.

"Bapa Reformasi perlu diletakkan di tempat yang sewajarnya. Gandingan mantap Anwar dan Azmin pastinya akan digeruni oleh pihak pembangkang dengan ketumbukan padu ini," jelasnya.

Pemilihan PKR akan diadakan pada 24 Ogos depan dan akan berlangsung selama sembilan minggu, manakala keputusan dijangka akan diumumkan pada November.

Setakat ini Azmin belum mengesahkan secara rasmi sama ada beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya kini.

Pada masa sama terdapat spekulasi bahawa beliau akan mencabar Anwar bagi jawatan nombor satu dalam parti itu. Bagaimanapun, perkara itu dinafikan setiausaha politiknya baru-baru ini.

Jika Azmin mempertahankan kedudukan sebagai timbalan, beliau dijangka berdepan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang telah mengesahkan akan bertanding merebut jawatan berkenaan.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi pemimpin pertama parti itu yang mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Rafizi.

- Malaysiakini

No comments


Loading...