Header Ads

Najib: Agenda Bumiputera Sukar Dilaksana Jika Mara Berpecah


SHAH ALAM - Program berkaitan agenda Bumiputera sukar dilaksanakan jika Majlis Amanah Rakyat (Mara) dipecahkan kepada beberapa kementerian.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana Mara merupakan konglomerat yang mempunyai banyak cabang.

Katanya, Mara juga dianggap agensi penting untuk masa depan Bumiputera.

"Kalau terlalu berpecah sangat dari segi tanggungjawab, mungkin susah nak beri tumpuan untuk memastikan terlaksananya program yang bersangkut paut dengan agenda Bumiputera," katanya selepas merasmikan Restoran Pok Usop Ayam Kampung di Setia Alam, di sini, sebentar tadi.

Loading...


Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kemungkinan rombakan Mara yang akan dipecahkan kepada beberapa kementerian.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kedudukan Mara akan diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

Ketika ini, katanya, kawal selia dan tanggungjawab agensi Bumiputera itu masih dalam peringkat perbincangan Kabinet.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau akan terus memperjuangkan agenda Bumiputera dan mengekalkan ia sebagai sebuah entiti yang berwibawa.

"Mara sebuah badan yang penting dari segi agenda Bumiputera dan ia perlu kekal sebagai satu entiti yang berwibawa.



"Bagaimanapun, kita tidak tahu apa lagi perancangan PH. Kita akan menilai..tetapi agenda Bumiputera mesti diperjuangkan dengan berkesan.

Mara ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam Persekutuan khususnya di kawasan luar bandar.

Pada pemerintahan BN penggal lalu, Mara diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Sebelum ini, Mara pernah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum kementerian itu dibubarkan pada 2009.

- Sinar Harian

Loading...