Header Ads

Nafi adakan mesyuarat MKN malam PRU14


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bahawa beliau telah memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada malam 9 Mei lalu sejurus mengetahui keputusan PRU14 jelas tidak menyebelahi BN.

Malah beliau turut menegaskan pendiriannya yang percaya kepada kehendak rakyat di negara ini.

Loading...

Beliau menafikan perkara tersebut menerusi wawancara eksklusif bersama portal Malaysiakini minggu lalu.

"Saya seorang demokrat. Saya percaya kepada kehendak rakyat. Mereka tuduh saya panggil mesyuarat MKN (tapi) ia tidak berlaku.

"Anda boleh tanya semua anggota (MKN)," katanya memetik laporan Malaysiakini.

Sebelum PRU14 berlangsung Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad berulangkali mendakwa Najib tidak akan menyerahkan kuasa dan mungkin menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara kerana bimbang akan ditahan.

Dalam wawancara sama, Najib berkata beliau tiada "plan B" dan tidak mahu negara dalam keadaan darurat.

"Saya tidak mahu pertumpahan darah berlaku," katanya.

Bagaimanapun beliau yakin dirinya tidak membuat sebarang salah laku dan bersedia membersihkan namanya.


Ditanya perasaannya ketika keputusan PRU14 diumumkan, Najib mengakui tenang menerima kekalahan itu.

"Saya fikir kami dalam keadaan terkejut dan semua orang menjadi sangat terganggu.

"Tetapi kami menenangkan diri dan memutuskan kami perlu menerima kehendak rakyat," katanya lagi.

No comments


Loading...