Header Ads

Murid Maut Dilanggar Lori Ais


PERMAISURI: Seorang murid Tahun Satu Pendidikan Khas maut dilanggar lori ais di sebuah kedai di Kilometer 9, Jalan Sungai Tong-Pelong di Kampung Langkap, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, Muhammad 'Afeef Mohd Adnan, 7, yang tidak ke sekolah kerana sakit kaki selepas terjatuh dari bukit semalam, dikatakan keluar ke kedai berhampiran rumah neneknya di Kampung Langkap di sini, sebelum dirempuh lori ais berkenaan.

Bapa mangsa, Mohd Adnan Che Ibrahim, 34, berkata anaknya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek di sini, mengadu sakit kaki selepas terjatuh ketika mendaki bukit di rumah mereka di Chalok, petang semalam.


Loading...

"Oleh sebab kurang sihat, saya menghantar Muhammad 'Afeef ke rumah neneknya sebelum ke tempat kerja.

"Saya terkejut apabila menerima panggilan ahli keluarga memaklumkan kejadian dan segera ke rumah neneknya," katanya yang bekerja sebagai ahli farmasi.

Mohd Adnan berkata, anaknya dikatakan dua kali ke kedai berhampiran rumah mentuanya itu untuk membeli mainan dan aiskrim.

"Anak saya dikatakan berada di tepi jalan berhampiran lori ais sebelum dirempuh kenderaan itu yang dipandu seorang lelaki ketika mahu bergerak selepas selesai menghantar ais di kedai runcit berkenaan.

"Pemandu itu dikatakan tidak menyedari anak saya ada di situ.

"Muhammad 'Afeef cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata pemandu lori berusia 38 tahun itu ingin memulakan perjalanan selepas selesai menghantar ais di kedai runcit di situ.

"Dia berasa terlanggar sesuatu dan terkejut menemui seorang kanak-kanak di bawah lori.

"Pemandu berkenaan membuat laporan di Balai Polis Setiu dan polis sudah mengambil keterangannya," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala lori terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk siasatan lanjut," katanya.

-Berita Harian

Loading...