Header Ads

MOM Guna Pesawat Khas Bawa Atlet Sukan Asia


KUALA LUMPUR, 8 Julai — Memandangkan hampir 600 atlet dan pegawai akan mewakili negara ke Sukan Asia Indonesia 2018 dari 18 Ogos hingga 2 Sept ini, maka Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempunyai tugas yang amat mencabar untuk membawa mereka ke negara jiran itu.

Penyertaan 447 atlet Malaysia pada Sukan Asia ke-18 itu merupakan penglibatan kontinjen terbesar Malaysia setakat ini ke temasya sukan serantau itu, termasuk berbanding penyertaan 333 atlet negara pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Loading...


Kumpulan paling besar dijangka menuju ke Jakarta, ibu negara Indonesia, tempat dijadualkan berlangsungnya upacara perasmian dan penutupan, di samping acara pertandingan olahraga, badminton, terjun, renang, hoki dan skuasy, manakala Palembang dan beberapa bandar raya di Jawa Barat pula akan menjadi tuan rumah pelbagai pertandingan lain.

“Kami sedang menguruskan dan berunding tentang penerbangan sewa khas dengan rakan penaja kami, AirAsia. Butiran terperinci (tentang atlet) belum diumumkan, tetapi mungkin (kontinjen) terbesar akan pergi ke Jakarta nanti .

“Kebanyakan atlet mungkin berlepas pada 16 dan 17 Ogos untuk menghadiri upacara pembukaan pada 18 Ogos,” kata Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Nazifuddin mengingatkan atlet negara supaya memberi keutamaan sepenuhnya dan mempamerkan prestasi terbaik masing-masing apabila beraksi pada Sukan Asia kerana ia merupakan pertandingan bertaraf paling tinggi di rantau ini.

“Memandangkan kedudukan Indonesia amat dekat dengan Malaysia, kami harap para atlet dapat bersaing dengan selesa dan mencapai kejayaan besar. Tidak ada alasan untuk menyalahkan cuaca atau perbezaan dari segi makanan. Sukan ini juga menjadi medan yang akan menentukan masa depan sesetengah atlet kami, terutama anggota bersekutu kami seperti luncur layar, perlumbaan kanu dan perahu naga.

“Kami harap mereka akan mempamerkan prestasi cemerlang, tidak semestinya memenangi pingat, tetapi menyerlahkan kehadiran kami di rantau ini. Di peringkat Sukan Asia, menduduki antara tempat kelima teratas sudah merupakan suatu kejayaan besar,” katanya. — Bernama

Loading...