Header Ads

Malaysia Perlu Tumpu Kepada Pertumbuhan Dan Bukan Penjimatan, Kata Tony Fernandes


KUALA LUMPUR -- Ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan yang baik pada masa ini dan kerajaan perlu menumpukan kepada pertumbuhan dan bukan mengambil langkah berjimat cermat, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan dan produktiviti untuk menambah pekerjaan dan menjadi daya penggerak di ASEAN.

“Tumpu kepada industri yang dapat menjana pendapatan dengan segera, selain teknologi dan idea yang dapat menghasilkan pertumbuhan yang besar (kepada negara),” katanya dalam catatan terkini di Twitter.

Loading...


Fernandes berkata dengan mencatat pertumbuhan ekonomi akan membolehkan kerajaan menguruskan hutangnya.

Beliau turut percaya ringgit akan mengukuh kepada 3.80 berbanding dolar US tidak lama lagi.

Bank Negara Malaysia telah mengumumkan hutang Kerajaan  Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion sehingga pada akhir 2017, bersamaan dengan 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.08 trilion sehingga pada 31 Dis, 2017.

Ini termasuk hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion dan jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion untuk membayar bagi pihak entiti, yang tidak dapat membayar hutang mereka, katanya.

Beliau berkata kerajaan turut komited kepada bayaran pajakan untuk sewa, penyelenggaraan dan caj lain sebanyak RM201.4 bilion bagi projek kerjasama awam-swasta seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis dan hospital.

Terdahulu dalam Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan kemudahan pinjaman dari Jepun bagi mengurangkan ‘high cost of money’ kerana kadar faedah hutang yang diambil pentadbiran terdahulu terlalu tinggi iaitu sebanyak enam peratus.

Beliau berkata nilai yen Jepun lebih murah berbanding ringgit dengan satu yen bersamaan 1 US cent, manakala RM1 bernilai 25 US cents, dan membayar balik hutang negara dengan yen Jepun bermakna negara tidak dibebani dengan kadar faedah tinggi sebanyak lebih daripada enam peratus.

-- BERNAMA

No comments


Loading...