Header Ads

'Macam tak percaya lihat anak terbaring...'

ROKIAH (kanan) sugul melihat jenazah anaknya selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda. -Foto OMAR OSMAN

“Saya yang terkejut menerima berita anak terbabit kemalangan terus bergegas ke lokasi kejadian dan macam tidak percaya apabila melihat mayat anak terbaring di tepi jalan dengan ditutup kertas sebaik tiba.”

Begitu kata Rokiah Mat Isa, 58, ibu kepada Muhamad Adli Mat Akhir, 20, yang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Jalan Tikam Batu-Kota Kuala Muda dekat Kampung Rantau Panjang malam tadi.

Loading...

Dalam kejadian 11.45 malam itu, Muhamad Adli menunggang Modenas Kriss dari arah Kota Kuala Muda bertembung dengan Honda EX5 ditunggang Amir Amrullah Noor Azman, 17, yang datang dari arah Tikam Batu.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa tercampak dan parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Rokiah berkata, arwah anaknya keluar dari rumah selepas Maghrib kerana ingin makan ais kacang Komtar di Pantai Merdeka bersama rakan dan berjanji ingin balik ke rumah pada 10 malam.

Menurutnya, pada mulanya dia melarang anaknya keluar namun arwah berjanji ingin keluar sekejap sahaja dan akan pulang ke rumah awal namun sehingga 11 malam anaknya masih belum balik.

“Malah sebelum masuk tidur saya telefon arwah sebanyak dua kali tetapi ia tidak berjawab dan beranggapan mungkin arwah atas motor sebab itu tidak jawab telefon.

“Bagaimanapun pada 12 tengah malam, rakannya datang ke rumah dan memberitahu dia terbabit dalam kemalangan menyebabkan saya terus bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, hari ini.

Menurut Rokiah, sebaik tiba, dirinya seakan tidak percaya melihat tubuh anaknya terbaring di tepi jalan dengan ditutup kertas dan perasaan bercampur baur kerana arwah satu-satunya anaknya.


“Biar pun amat sedih kehilangannya namun saya dan suami reda dengan kehendak Allah,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam, berkata, siasatan awal kemalangan itu dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang Amir Amrullah memasuki laluan Muhamad Adli menyebabkan mereka bertembung.

“Akibatnya mereka tercampak ke atas jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Muhamad Adli adalah bekas bekas pelajar Sekolah Teknik Vokasional Sungai Petani manakala Amir Amrullah pula pelajar Maktab Mahmud,Kota Kuala Muda,” katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-duanya dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments


Loading...