Header Ads

Laluan mudah buat Anwar


SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di laluan mudah untuk memenangi jawatan Presiden PKR.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, perkiraannya mudah kerana jika Anwar mahu bertanding jawatan berkenaan sudah tentulah penyandang yang juga merupakan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memberi laluan.

Loading...

Katanya, sudah semestinya mereka suami isteri akan berbincang terlebih dahulu, sebelum keputusan itu diambil Anwar (bertanding jawatan Presiden).

“Cuma yang menjadi isunya apakah Anwar nak bertanding akan ada pencabar? saya rasa siapa hendak cabar?.

“Cabarlah, itukan PKR, yang mengamalkan sikap demokratik sama ada Datuk Seri Mohamed Azmin hendak cabar, itu semua boleh berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Anwar yang menyatakan kesedian untuk bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti PKR yang akan diadakan November ini.

Mengulas lanjut Agus menegaskan bahawa ‘tiada pencabar yang paling setara untuk menentang Anwar ketika ini’.

“Siapa nak mencabar Anwar dalam masa ini, saya fikir Anwar akan dapat laluan mudah sebab orang ramai masih melihat beliau sebagai satu institusi.

“Anwar bukanlah sebagai calon tetapi institusi PKR, ini bermakna kalau nak cabar Anwar ketika ini bermakna ia cabar institusi,” katanya.

Katanya, Anwar mengambil keputusan yang sangat tepat untuk bertanding jika beliau mahu terlibat secara aktif dalam arena politik tanah air.

“Anwar tak wajar kalau nak teribat dalam politik selepas ini menjadi ketua umum yang tak ada kuasa eksekutif. Sekarang beliau bertanding jawatan presiden oklah,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, mustahil untuk melihat ada wakil yang akan mencabar Anwar  untuk jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu November ini.

Menurutnya, status Anwar selaku individu paling berpengaruh dalam PKR sukar untuk digugat apatah lagi beliau umpama bapa kepada semua ahli dalam parti itu.


“Selepas 20 tahun, barulah beliau melihat untuk cuba menjawat kedudukan rasmi dalam parti, selain ini merupakan jawatan pertama beliau. Jadi, saya tidak fikir beliau akan ditentang oleh orang lain.

“Dalam masa sama, ahli lain akan melihat beliau sebagai orang cukup penting kerana jika tiada Anwar, maka tiadalah parti ini sekarang,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Sivamurugan, keputusan Anwar untuk bertanding itu juga wajar memandangkan beliau bakal dilantik sebagai perdana menteri.

“Cuma yang menjadi persoalan sekarang apakah jawatan yang akan dipegang oleh  Wan Azizah," katanya.

Beliau berkata, Wan Azizah perlu ada jawatan dalam PKR kerana beliau kini adalah timbalan perdana menteri.

"Wan Azizah juga tidak boleh turun pangkat ke jawatan yang lebih rendah daripada presiden. Mahu tidak mahu, PKR kena wujudkan satu lagi jawatan yang setara dengan jawatan Presiden untuk diberikan kepada Wan Azizah,” katanya.

No comments


Loading...
loading...