Header Ads

KJ jangan tinggalkan Umno!


RAMAI yang meramalkan Khairy Jamaluddin akan keluar meninggalkan Umno selepas tewas dalam perebutan kerusi presiden parti itu, baru-baru ini.

Ini ditambah pula dengan tindakannya  tidak keluar dari Dewan Rakyat tatkala Ahli Parlimen pembangkang yang lain keluar sebagai tanda protes terhadap proses pencalonan Speaker yang dikatakan tidak mematuhi peraturan.

Loading...

Hanya Khairy dan Datuk Seri Anifah Aman (Ahli Parlimen Kimanis) sahaja daripada BN yang ambil pendirian untuk kekal di dalam dewan.

Lantaran itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ketua Pembangkang ketika bangun buat pertama kali dalam persidangan minggu lalu, telah menyindir kedua-duanya  yang bagi pemerhati, lebih ditujukan kepada Khairy.

Ini kerana, Khairy bukan sahaja seorang daripada dua pesaing Zahid dalam perebutan jawatan Presiden Umno malah berbanding  Tengku Razaleigh Hamzah yang boleh dikatakan terus  berdiam diri selepas pemilihan, Khairy sebaliknya lantang membuat kenyataan demi kenyataan.

Beliau berterusan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan  yang baginya mencerminkan sikap pimpinan parti yang enggan berubah.

Paling ‘panas’ ialah dakwaan beliau kononnya ahli akar umbi Umno telah diarah, diugut dan dipaksa untuk mengikut pilihan ‘warlords’ yang mempunyai cengkaman kuat ke atas bahagian meskipun ramai anggota parti itu mahukan perubahan (dalam kepimpinan).

Sehubungan itu, beberapa jam selepas insiden enggan keluar dewan, tersebar mesej di media sosial yang mendakwa Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, telah membuat pengumuman keluar Umno.

Beliau dikatakan telah mengikut jejak bekas Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang sebaik berakhir pemilihan, telah mengisytiharkan keluar parti.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan itu memberikan alasan hilang keyakinan untuk terus bersama Umno dan BN yang tidak menunjukkan tanda akan berubah meskipun telah kalah teruk dalam pilihan raya – ayat yang senada dengan Khairy.

Namun sejak tersebarnya mesej itu hingga hari ini, tidak ada sebarang kenyataan rasmi oleh Khairy yang sekali gus membuktikan beliau masih kekal bersama Umno.

Itulah yang sebaiknya.

Ramai yang mengharapkan Khairy akan terus kekal bersama Umno. Malah dalam kalangan pemimpin kerajaan yang secara ideologi adalah seteru politik beliau pun, berharap KJ kekal dengan blok  pembangkang.


Ini kerana dalam usaha untuk membina sebuah kerajaan yang baik dan berkesan dalam memenuhi hasrat rakyat, pemerintahan memerlukan pembangkang yang konstruktif.

Khairy memiliki kualiti itu, selain aura peribadi yang telah beberapa tahun meletakkan dirinya sebagai calon ‘pemimpin masa hadapan’ negara.

Kolumnis terkenal The Star, Joceline Tan dalam satu artikel disiarkan ketika awal kemunculan Khairy dalam arena politik negara, menyifatkan bekas Ketua Pemuda Umno itu sebagai ‘bintang yang sedang menyinar’.

Sekarang ini pun, walaupun Umno dan BN sudah tidak lagi memerintah, KJ masih mempunyai pengikutnya yang tersendiri, masih lagi mendapat penghormatan kawan dan lawan malah tidak kurang juga yang meyakini suatu hari nanti beliau akan kembali ke singgahsana pemerintahan.

Itupun jika ahli Umno berani untuk berubah meninggalkan segala imej dan budaya negatif  dalam parti yang telah meragut keyakinan rakyat pada pilihan raya baru lalu.

Berkaitan sindiran Zahid dalam persidangan tempoh hari, Presiden Umno itu seharusnya lebih bertenang dan tidak perlu ‘menyerang’ Khairy yang sama parti.

Sebagai pemimpin No. 1 Umno, beliau harus sedar bahawa Khairy bukanlah musuh yang hakiki lalu tidak seharusnya cerita pertandingan dalaman parti dibawa tempiasnya sampai ke Dewan Rakyat, ke hadapan pemimpin parti lawan.

Sebagai ahli politik berpengalaman, Zahid seharusnya lebih berjiwa besar dalam menguruskan perbezaan pandangan, falsafah dan metodologi politik, apatah lagi sebagai sebuah parti yang demokratik, pertandingan jawatan seharusnya dilihat sebagai ruang untuk  lebih mengukuhkan parti, bukan untuk memecahbelahkan.

Dalam parti kerajaan pun, perbezaan sentiasa ada dan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Justeru, ia haruslah diuruskan secara matang supaya apa yang berlaku tidak meresahkan serta mampu untuk menarik semula keyakinan akar umbi.

No comments


Loading...