Header Ads

'Kalau Kawan Buang Puntung Rokok Pun Saya Kutip' – Syed Saddiq


KUALA LUMPUR - “Bagi mereka yang mengenali saya, ini bukan pertama kali (kutip sampah). Kalau kawan buang puntung rokok pun saya pergi kutip, biar dia malu dan tak akan buat lagi,” demikian kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, beliau pantang sekiranya melihat orang membuang sampah merata-rata.

“Ia bukan sesuatu perkara negatif, mengapa tidak kita lakukan perkara sama,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang mendakwa usahanya mengutip sampah di stadium sebagai satu lakonan untuk menarik perhatian rakyat.

Loading...


Memetik laporan Sinar Harian, malam tadi, Syed Saddiq membuat kejutan sebaik tamat perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dengan Pahang di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Syed Saddiq yang turut menonton perlawanan tersebut membawa plastik hitam besar mengutip sampah yang ditinggalkan oleh penyokong di tempat duduk.

Tindakan menteri itu dirakam dan mula tular di media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Jika sebelum ini kita disajikan dengan gambar dan juga berita mengenai penyokong Jepun serta Senegal yang membersihkan tempt duduk mereka selepas menyaksikan perlawanan Piala Dunia di Rusia.

Rata-rata netizen memuji tindakan Syed Saddiq, malah ada menyatakan apa yang dilakukan oleh ahli Parlimen Muar itu suatu bentuk kepimpinan melalui teladan.

“Kepimpinan melalui teladan, tahniah YB (Yang Berhormat),” kata pengguna Twitter @MarMys.

““YB Syed Saddiq bukan sekadar YB, tetapi juga pendidik, kutip sampah untuk ajak orang lain kutip sampah, bukan duduk pejabat saja,” kata pengguna Twitter @najdiunic.

Pada perlawanan tersebut, Pahang merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga setelah menewaskan juara lima kali, Selangor, 2-0.

Dua gol pasukan Tok Gajah menerusi aksi pemain Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-23, dan dihadiahkan penalti pada minit ke-61 selepas pertahanan Selangor, Alfonso De La Cruz menjatuhkan Agustine Iwuji sebelum Patrick Cruz tenang menyempurnakannya.

Loading...