Header Ads

Guru Disyaki Cabul Pelajar Lelaki Diburu


Polis sedang memburu seorang guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Kulai bagi membantu siasatan berkaitan kes cabul terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun, April lepas.

Berdasarkan laporan mangsa, guru lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 11 April dan 22 April lepas.

Kejadian kali pertama berlaku di sebuah bilik perpustakaan sekolah berkenaan apabila guru tersebut meminta pelajar berkenaan menanggalkan baju dengan alasan untuk membuat pemeriksaan badan.

Loading...


Guru itu kemudian bertindak mencium bibir pelajar terbabit dan memaklumkan bahawa perbuatan berkenaan melayakkan remaja itu menjadi seorang pengawas sekolah.

Pelajar tingkatan tiga itu sekali lagi menjadi mangsa di sebuah bilik di rumah guru berkenaan apabila guru itu mengulangi perbuatan jijik yang sama.

Pelajar terbabit tidak berani bersuara dan hanya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak sekolah pada 26 Julai lalu ketika guru berkenaan sedang bercuti tanpa gaji selama sebulan.

Atas nasihat pihak sekolah, pelajar tersebut kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada jam 10 pagi semalam.

Pelajar tersebut kemudian dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai Supt Dzulkhairi Mukhtar yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

“Kami sedang mengesan guru berkenaan yang ketika ini sedang bercuti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017,” katanya.

- Bernama

Loading...