Header Ads

‘Dulu Tun M Yang Bantah UEC’

Foto: NST

SHAH ALAM - Wanita Umno mendesak supaya Kerajaan Pakatan Harapan meneliti dengan mendalam kesan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) terutamanya sebagai kelayakan untuk kemasukan ke Universiti Awam (UA).

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, banyak implikasi yang akan berlaku sekiranya ia dilaksanakan.

Jelasnya, kerajaan seharusnya bertanggungjawab dalam memastikan identiti negara dan perpaduan di kalangan rakyat terus dipupuk serta dipelihara.

“Bukan diretakkan oleh perbezaan medium komunikasi di antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Loading...

Kerajaan menerusi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan akan meneruskan rancangan untuk mengiktiraf UEC selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas.

Jelas Maszlee, pihaknya tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat flip-flop dalam perkara itu.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, tuntutan pengiktirafan UEC merupakan satu isu yang telah dibincangkan dari sejak Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali pertama dahulu.

“Semasa menjadi Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri dahulu, Tun Mahathir sendiri telah menyatakan pendiriannya dengan tegas menolak pengiktirafan UEC sebagai kelayakan masuk ke UA,” katanya.

Jelasnya, antara sebab titik penolakan kepada tuntutan ini pada hari ini adalah kerana UEC tidak mewajibkan peperiksaan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia mengikut silibus yang ditetapkan Kementerian Pendidikan setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, jika rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak diwajibkan menguasai Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, pastilah akan lahir generasi rakyat Malaysia yang tidak boleh bertutur Bahasa Melayu dengan fasih.

Jelasnya, jika ini dibiarkan, Malaysia akan hilang identiti yang menyatukan masyarakat majmuk di dalam negara ini.

- Sinar Harian

Loading...