Header Ads

Dr Mahathir pengerusi baru Khazanah serta-merta


Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik pengerusi Khazanah Nasional Berhad yang baru, menggantikan Datuk Seri Najib Razak yang meletak jawatan 31 Mei lepas.

Pengumuman ini menyusuli peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan itu 26 Julai lepas.

“Pelantikan ini berkuatkuasa serta-merta,” kata PMO dalam kenyataan hari ini.

Loading...


Turut diumumkan ialah pelantikan ahli lembaga pengarah iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Sukudhew (Sukhdave) Singh; dan bekas pengarah eksekutif di pejabat pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Goh Ching Yin.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Tan Sri Azmin Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Ekskeutif Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof meletakkan jawatan bersama ahli lembaga lain selepas perdana menteri secara terbuka mengkritik syarikat itu menyimpang daripada tujuan asal.

Pengarah lain adalah bekas tokoh perbankan Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan Datuk Mohammed Azlan Hashim; bekas pegawai bank pusat, Andrew Sheng Len Tao, yang sebelum ini bertugas sebagai timbalan ketua eksekutif Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong; Tan Sri Raja Arshad Raja Uda, bekas pengerusi dan rakan kongsi kanan firma PriceWaterHouseCooper Malaysia; Datuk Nazir Razak, pengerusi kumpulan CIMB dan adik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak; Datuk Nirmala Menon, eksekutif sektor insurans yang dihormati dan tokoh perbankan, Yeo Kar Peng.

Pasukan itu terdiri daripada tokoh korporat Malaysia paling penting dan proses mencari pengganti mereka, sekiranya berlaku, akan diperhati secara dekat oleh pelabur tempatan dan luar negara.

“Pelantikan pengarah urusan akan diumumkan kemudian,” kata PMO.

- FMT

Loading...