Header Ads

Dengar bunyi dentuman kuat

KEADAAN Perodua Alza selepas dirempuh treler dalam kemalangan di Kilometer 446, Lebuhraya PLUS arah Kuala Lumpur dekat persimpangan Rawang Selatan, jam 12 tengah hari tadi. FOTO Ihsan pembaca

“SAYA terdengar bunyi dentuman kuat dan nampak melalui cermin sisi sebelah kanan kereta Toyota Vellfire dirempuh treler sebelum diseret hingga melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas yang saya pandu.

"Bas bergoyang, namun saya dapat kawal sebelum meneruskan perjalanan.

Loading...

"Sekembali ke lokasi kejadian selepas menurunkan penumpang di Kuala Lumpur, saya dapati kereta Perodua Alza remuk di lorong kecemasan dan terdapat empat mayat bertutup kain dan plastik hitam di atas jalan raya," kata pemandu bas ekspres, Hazhar Hamzah, 52, saksi kejadian kemalangan yang mengorbankan empat orang hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, tiga mangsa yang menaiki Perodua Alza dan seorang pemandu Toyota Vellfire maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Kilometer 445.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur dekat persimpangan Rawang Selatan di sini.

Kemalangan itu turut mencederakan empat yang lain termasuk seorang kanak-kanak.

Menurut Hazhar, ketika kejadian dia yang membawa 41 penumpang dalam perjalanan dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian berlaku sangat pantas, namun bernasib baik kerana dapat mengelak daripada menjadi mangsa.


"Keadaan ketika itu memang cemas sedikit dan saya perlu kawal pemanduan agar tidak terbabas.

"Nasib baik bas berada di lorong dua, kalau tidak impaknya lebih buruk dan berkemungkinan rempuhan akan berlaku dari arah depan bas.

"Hanya jarak satu lorong dapat mengelakkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Hazhar berkata, dia terpaksa bergegas ke lokasi untuk mendapatkan nombor pendaftaran lori yang melanggar bas untuk membuat laporan.

Kemalangan terbabit menyebabkan kesesakan lebih 10 kilometer di laluan menghala Selatan dan sesak lebih lima kilometer di laluan sebelah Utara.

No comments


Loading...