Header Ads

Dasar Ekonomi Tidak Harus Berasaskan Kaum - Azmin


KUALA LUMPUR -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) percaya dasar ekonomi negara tidak harus berasaskan kaum sebaliknya perlu berdasarkan keperluan rakyat demi faedah kepada seluruh warga Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ini yang diamalkan dalam penggubalan dasar-dasar ekonomi di Selangor. Justeru, dengan pengalaman  saya yang tidak seberapa di Selangor (selaku menteri besar sebelum ini), kita boleh kembangkan  amalan ini ke peringkat nasional dan lihat sejauh mana dasar-dasar ekonomi kita  boleh memberi manfaat kepada  seluruh rakyat Malaysia.


Loading...

“Semakan semula Dasar Ekonomi Baharu (DEB) ini bertujuan memastikan ia memenuhi keperluan dan aspirasi semua rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata DEB tidak akan digantikan sepenuhnya namun jika ada keperluan, dasar baharu akan diperkenalkan seiring dengan hala tuju baharu kerajaan PH.

Katanya  perkara itu akan dilihat oleh Unit Perancang Ekonomi  dan beliau berharap sebahagian daripada  dasar baharu, jika perlu,  akan diperkenalkan semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia (RMK) ke-11 pada November ini.

Katanya berbanding kajian separuh penggal RMK sebelum ini yang lazimnya melibatkan  pembentangan  penilaian dasar-dasar yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun RMK tersebut, kali ini kerajaan PH akan memperkenalkan dasar dan hala tuju baharu kerajaan.

Beliau turut memberi jaminan kajian semula DEB atau pelaksanaan dasar baharu akan tetap menjamin hak-hak bumiputera namun akan dilakukan secara lebih adil dan saksama kepada semua kaum di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Ditanya mengenai objektif dasar baharu terbabit,  Mohamed Azmin berkata cabaran terbesar kerajaan pada masa ini ialah untuk memulihkan semula keyakinan pelabur serta mengekalkan pelaburan langsung asing yang merupakan keutamaan kerajaan.

DEB diperkenalkan pada 1970 dengan tujuan membasmi kemiskinan dan menstrukturkan semula masyarakat.

-- BERNAMA

Loading...