Header Ads

Dasar berkecuali negara masih kekal

Mohamad Sabu berbual dengan Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pendirian dasar berkecuali yang dipegang oleh Malaysia sejak dahulu masih kekal hingga ke hari ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, atas dasar itu juga Malaysia tidak akan terlibat dengan mana-mana konflik negara jiran seperti mana yang berlaku di Arab Saudi.

Loading...

“Adapun negara ini menghantar tentera ke mana-mana negara, namun ia atas dasar berkecuali iaitu jika ia dipohon oleh United Nation sahaja.

“Panggilan mana-mana pihak yang berkonflik antara jiran maka Malaysia tidak boleh terlibat atas dasar negara berkecuali yang diamalkan oleh negara ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas), hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tindakan kerajaan yang menghantar tentera ke Arab Saudi dua tahun lalu adalah bertujuan untuk membawa kembali rakyat Malaysia yang terperangkap di sana.

“Kerja-kerja itu telah selesai dan ada rakyat Malaysia yang terus tinggal di sana kerana mereka anggap mereka selamat, maka usaha evakuasi itu telah selesai.

“Oleh itu tidak perlu tentera Malaysia terus berada di sana kerana negara itu sedang berperang dengan negara jiran mereka sebab itulah kita membawa pulang semua tentera kita ,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia akan terus mempertingkatkan hubungan dengan Arab Saudi dari masa ke masa.

“Saya sendiri telah bertemu dengan duta Arab Saudi di Malaysia dan berbincang untuk mengadakan program-program yang akan mengeratkan hubungan dua negara ini termasuk jika perlu latihan tentera bersama.

“Tapi bukan kita berada di sana untuk terlibat dengan peperangan antara dua negara jiran,” katanya.

Loading...