Header Ads

Cikgu Erin nak kahwin 2020


KUALA TERENGGANU: Bekas mak nyah yang telah berhijrah, Mohd Khariri Mohamad Ramli,41, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Erin berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Ingin membina keluarga bahagia sama seperti insan lain, Mohd Khariri mengakui ada berkawan dengan beberapa wanita namun dia tidak memberi harapan kepada mereka sebaliknya menyerahkan soal jodoh kepada ALLAH SWT.

Loading...

“Insya ALLAH, akhir tahun ini saya akan menunaikan umrah di Makkah dan di sana nanti saya berhasrat untuk berdoa kepada ALLAH agar memberikan jodoh terbaik buat saya. Kekuatan untuk berkahwin sudah ada cuma saya perlukan petunjuk di sana.

“Pada tahun 2012 saya telah ke sana tapi ketika itu fokusnya lebih kepada ibadah penyucian diri dan jiwa saya selepas berhijrah dan kali ini fokus saya kepada jodoh pula,” katanya ketika hadir berkongsi kisah hidupnya bergelar mak nyah.

Kisah penghijrahan itu dikongsi beliau dalam Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari 2018 yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Mohd Khariri yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Pelabuhan Klang  berkata, dia enggan berkawan terlalu rapat dengan  wanita kerana bimbang mengecewakan mereka namun berhasrat jodohnya nanti datang dari kalangan usahawan.

Ini bertepatan dengan minatnya dalam perniagaan khususnya bidang kecantikan.

“Saya ada kemahiran dan kepakaran dalam dunia kecantikan dan jika dapat isteri usahawan bolehlah saya kongsi kepakaran ini dengannya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khariri berkata dia kini dilantik sebagai pembantu mutawif oleh sebuah agensi pelancongan untuk membimbing mana-mana golongan transgender yang berhasrat menunaikan ibadah umrah di Mekah.

Bersyukur dan gembira dengan pelantikan itu, anak kelahiran Chemor, Perak ini akan diberi latihan dan kursus khusus bagi melengkapkan dirinya sebagai mutawif dalam usaha memberi keselesaan kepada mak nyah beribadah di sana.


“Golongan ini ada banyak perkara yang perlu dibantu. Saya tahu kerana saya sendiri pernah melaluinya dan ini antara perkara-perkara yang hanya golongan mak nyah yang faham,” katanya.

Mohd Khariri pernah bergelumang dalam dunia mak nyah selama 18 tahun sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke pangkal jalan pada tahun 2012.

Dalam tempoh itu, dia menjalinkan hubungan dengan beberapa lelaki yang menjadikannya sebagai pekerja seks, penjual dadah dan bertindak memukulnya.

Dia juga melakukan beberapa pembedahan, menyuntik hormon dan memakan pelbagai jenis pil bagi membolehkan dirinya menjadi wanita. - Sinar Harian

Loading...