Header Ads

Bookie RM3.5 Juta Dicekup


POLIS Selangor memberkas lelaki dipercayai mengendalikan pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 bernilai RM3.5 juta.

Dalam kejadian 11.30 malam tadi, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan di pejabatnya di Subang Jaya, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Selangor.

Serbuan itu hasil risikan dan maklumat Unit Siasatan Jenayah Komputer (D10) Forensik Bukit Aman dan Unit Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Loading...


Lelaki yang mengendalikan pertaruhan dalam talian sejak tiga bulan lalu ditahan ketika leka menerima pertaruhan daripada lebih 1,500 kaki judi dari seluruh negara pada separuh masa pertama perlawanan akhir Piala Dunia antara Perancis dan Croatia.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pertaruhan dalam talian dibuat menggunakan telefon bimbit, laman sosial Facebook dan aplikasi WeChat.

"Kegiatan ini beroperasi sejak sebelum perlawanan pusingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 dan setiap individu yang ingin membuat pertaruhan dimestikan untuk menjadi ahli dalam aktiviti perjudian dalam talian ini.

"Malah, selain mengendalikan pertaruhan perlawanan bola sepak, suspek juga turut menjalankan aktiviti pertaruhan 16 jenis permainan lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas enam monitor; satu router; satu camera; dua modem; tiga pemacu keras; dua pembesar suara; empat pemacu komputer; dua penjana TAC; dua kad akses; enam telefon bimbit; satu kalkulator; empat pusat simpanan data maya; satu buku cek; tujuh resit bank; satu resit barang penghantaran; dua resit deposit tunai perbankan; satu kad nama dan 11 kertas catitan kata laluan untuk mengakses akaun pertaruhan.

"Berdasarkan siasatan awal, setiap transaksi pertaruhan dibuat di premis ini menggunakan beberapa akaun perbankan tempatan.

"Pada masa ini pihak JSJK sedang meneruskan siasatan serta melakukan semakan berkaitan laman web berkenaan bagi membantu siasatan selanjutnya," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pertaruhan.

- Harian Metro

No comments


Loading...