Header Ads

Bekas Adun Umno sertai PPBM, Mukhriz yakin ramai bakal ikut

Seramai 500 pemimpin Umno tempatan di negeri ini termasuk bekas Adun Bukit Tuku, Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail mengumumkan keluar parti dan menyertai Bersatu. - Foto: Sinar Harian

MACHANG, 29 Julai — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjangka lebih ramai ahli Umno akan keluar dari parti itu dan menyertai Bersatu.

Mukhriz berkata ia berikutan ahli Umno kini telah hilang keyakinan terhadap parti berkenaan terutama selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas.

“Pada masa yang sama saya tengok Umno kini terdesak dan melakukan pelbagai perkara untuk menghalang ahli mereka berhijrah menyertai parti lain walhal mereka tidak lagi berkuasa di peringkat negeri ataupun Persekutuan,” katanya pada Program Hijrah 2.0 di sini, hari ini.


Loading...

Hadir sama Ketua Penerangan Bersatu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor dan timbalannya, Datuk Sazmi Miah.

Terdahulu, Mukhriz menerima borang deklarasi keluar Umno daripada 500 pemimpin akar umbi parti itu yang diketuai bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tuku Datuk Mohd Zain Ismail.         

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata masih ada ramai ahli Umno yang ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara namun ditakut-takutkan oleh pemimpn parti itu supaya tidak melompat parti.

“Orang yang ikhlas berjuang (untuk agama, bangsa dan negara) ramai lagi berada dalam Umno tapi agaknya mereka terpengaruh dengan dakyah dalaman kerana mereka dimomokkan dengan segala apa yang kami dedahkan adalah fitnah dan tohmahan semata-mata.

“Jadi mereka tak tergerak untuk buat keputusan awal (menyertai Bersatu) tapi lepas tu mereka dah sedar terutama selepas pendedahan di mahmamah mengenai penyelewengan yang dilakukan (bekas presiden Umno) Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Ditanya adakah Bersatu akan menjadi Umno 2.0 berikutan penghijrahan beramai-ramai ahli Umno ke dalam parti itu ketika ini, Mukhriz berkata pihaknya akan mengadakan tapisan terhadap ahli Umno yang berhasrat menyertai parti itu.

“Adalah tokoh-tokoh tertentu dalam Umno yang berhasrat untuk menyertai Bersatu tapi kalau kita rasa tak sesuai kita akan tolak permohonan mereka,” katanya. — Bernama

Loading...