Header Ads

Anwar, Azmin gandingan padu

Shamsul selepas mengadakan sidang media di Ayer Keroh, semalam.

MELAKA TENGAH - PKR Melaka menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti itu yang digandingkan bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti Ogos ini.

Meskipun begitu, sehingga hari ini, Mohamed Azmin masih berteka-teki berhubung pendirian beliau sama ada menentang Anwar untuk jawatan Presiden mahupun mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR disandangnya.

Loading...

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula baru-baru ini mengesahkan akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR Ogos ini.

Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pengalaman luas antara Anwar dan Mohamed Azmin pastinya memberi nilai tambah yang tinggi kepada PKR sebagai parti kuat dalam kerajaan.

“Masa dah tiba untuk Datuk Seri Anwar memimpin parti sebagai Presiden dan bapa reformasi perlu diletakkan di tempat sewajarnya serta gandingan mantap Anwar - Azmin akan digeruni pihak pembangkang dengan ketumbukan padu ini.

“Mereka diperlukan untuk mengisi kemenangan dan seterusnya melaksanakan agenda reformasi sebagai asas kepada pembentukan dasar kerajaan apabila Anwar sudah mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata, dalam satu sidang media berhubung pemilihan PKR peringkat negeri Melaka 2018 Pencalonan Bagi Jawatan Parti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, semalam.

Menurut Naib Presiden PKR itu, gandingan Anwar dan Mohamed Azmin dilihat saling melengkapi ke arah kelangsungan sebagai parti yang terkuat dan lebih berkaliber pada masa akan datang.

Sementara itu, Shamsul yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, berdasarkan rekod jawatankuasa pemilihan parti (JPP), PKR negeri mencatatkan penjualan sebanyak 490 borang pencalonan di enam cabang membabitkan Jasin, Alor Gajah, Bukit Katil, Kota Melaka, Tangga Batu dan Masjid Tanah.

“Ini menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan anggota dan kepimpinan di peringkat akar umbi apabila mereka menawarkan khidmat sebagai pimpinan cabang,” katanya yang turut bertanding di cabang Jasin sebagai Ketua dengan gandingan Azmi Khamis sebagai Timbalan Ketua.


Pada masa sama, beliau menggalakkan masyarakat untuk menjadi anggota PKR dan hanya yang berdaftar sehingga 26 Julai lalu sahaja boleh mengundi untuk pemilihan kali ini, manakala selebihnya perlu menunggu pemilihan tiga tahun lagi.

“Saya fikir parti mungkin akan melihat kalau ada bantahan-bantahan yg dibuktikanlah (penapisan calon), contohnya terlibat dengan jenayah misalnya ataupun masalah bankrap, kadang kita tiada maklumat jadi dia tidak boleh bertanding.

“Sebab itulah disediakan satu tempoh masa itu (tiga hari) untuk pihak sekretariat membuat penelitian akhir,” katanya.

Loading...