Header Ads

Pensyarah: Majlis Tindakan Ekonomi bantu kerajaan tunai manifesto


KUALA LUMPUR — Kalangan ahli akademik menyambut baik penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang diumumkan semalam dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta dibarisi 16 individu berpengaruh.

Sambil mengalu-alukan penubuhan EAC itu, mereka turut menyifatkan penubuhan majlis itu tepat pada masanya selain dapat menangani pelbagai isu membabitkan kesejahteraan rakyat.

Loading...

Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata EAC terbukti dianggotai mereka yang memiliki pelbagai latar belakang dan pengalaman berbanding Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

“Kebanyakan mereka adalah individu berjaya yang mempunyai rekod prestasi masing-masing dan komposisi (EAC) turut disertai sebilangan besar yang bukannya ahli politik.

“Adalah diharapkan mereka ini dapat membantu kerajaan menunaikan janji manisfesto yang sememangnya menjadi perkara diutamakan rakyat pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Malah, Shazali turut menyifatkan barisan ahli EAC itu mampu menyuntik keyakinan rakyat bahawa isu yang membabitkan kepentingan orang ramai akan diberi keutamaan serta ditangani.

“Adalah diharapkan idea baharu bagi menangani isu kesejahteraan rakyat itu dapat diketengahkan oleh anggota majlis tersebut dan satu platform dapat diwujudkan untuk mendapatkan cadangan serta maklum balas orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng menganggap EAC itu sebagai versi kecil Majlis Tindakan Ekonomi Negara serta CEP yang diperluaskan.

“Sudah tiba masanya untuk mewujudkan sebuah majlis yang dapat menghasilkan hala tuju ekonomi, dasar dan strategi baharu di bawah kerajaan yang berusia sembilan bulan ini.

“Lebih penting lagi, ini akan membawa kepada pembentukan satu pelan tindakan yang dapat dilaksanakan secara meluas sepertimana dilakukan oleh Majlis Tindakan Enonomi Negara sebelum ini,” katanya. — Bernama

Loading...

No comments


Loading...