Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, kali terakhir imej Nikitin Aleksis Elus Valtteri, 20, dirakam CCTV ialah antara pukul 7 dan 8.30 pagi pada 22 Janua­ri ketika dia melalui kawasan sebuah kawasan penginapan.

Loading...

“Ketika melalui sebuah resort di Kampung Paya, mangsa yang memakai baju hitam dan berseluar panjang dilihat cuba menutup CCTV dengan ta­ngannya selepas melalui kawasan itu.
“Polis masih menyiasat punca tindakan itu dan kita juga telah menyoal siasat beberapa individu yang berhubung dengan mangsa sebelum dilaporkan hilang bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Pulau Tioman, di sini semalam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejak 26 Januari lalu masih diteruskan, namun bila­ngan anggota yang terlibat telah dikurangkan selepas tiada petunjuk baharu selain mengambil masa yang agak lama.
Sementara itu, Ketua Zon Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Arifin Kamar berkata, antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh pasukan SAR sepanjang operasi ialah bentuk muka bumi yang berbukit bukau.
“Operasi telah mencakupi kawasan seluas 10 kilometer persegi dari kawasan mangsa dilihat kali terakhir di Kampung Paya, termasuk kawasan hutan, bukit, pantai dan paya Kampung Tekek, sehingga kawasan sanktuari penyu.
“Ada satu ketika tiga ekor anjing pengesan yang digunakan dalam operasi ini berjaya mengesan bau mangsa di Kampung Bunut, namun kemudian ia hanya berpusing-pusing di kawasan yang sama,” katanya.

Valtteri tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu dan memasuki Pulau Tioman pada 21 Januari sebelum dilaporkan hilang sehari selepas itu.
Operasi pencarian telah dilakukan sejak 26 Januari lalu oleh seramai 68 anggota dan pegawai JBPM, polis, Pasukan Gerakan Am serta Angkatan Pertahanan Awam dengan dibantu tiga ekor anjing pengesan. 
– Bernama