Header Ads

Kantin hospital ditutup dua minggu, foto tikus tersebar di media sosial


JOHOR BARU — Kantin Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini ditutup dua minggu bermula kelmarin selepas pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mendapati pengusaha premis itu gagal mematuhi beberapa piawaian mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah kesihatan negeri Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata pemeriksaan oleh PKD Johor Baru ke atas kantin itu dilakukan susulan aduan gambar tular memaparkan seekor tikus di sebuah kantin.

Loading...

“Arahan penutupan kantin (HSI) telah dikeluarkan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh dijalankan dan hanya akan dibenarkan dibuka semula apabila tahap kebersihan dapat dicapai dengan sempurna dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Selahuddeen berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan HSI mengambil berat isu-isu berkaitan kebersihan serta keselamatan makanan dan pengguna boleh menghubungi JKNJ atau PKD terdekat jika mempunyai aduan berkaitan kebersihan serta keselamatan makanan.

Beliau berkata JKNJ dan HSI akan sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan aktiviti pencegahan kerosakan serta kawalan makhluk perosak dijalankan oleh pihak konsesi dan aktiviti pembersihan juga dilakukan oleh pengusaha kantin.

“JKNJ Johor juga ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja kawalan serangga dan haiwan perosak adalah merupakan satu daripada skop kerja penyelenggaraan ‘planned preventive maintenance’ (PPM) dalam program penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH).

“Syarikat konsesi yang dilantik akan menjalankan kawalan tikus melalui aktiviti pemeriksaan rutin dan PPM mengikut frekuensi yang telah ditetapkan iaitu pada setiap hari dan setiap bulan dengan menggunakan pelbagai kaedah atau mekanisme seperti penggunaan umpan dan perangkap serta menutup laluan tikus dan penghapusan tempat pembiakannya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata operator kantin juga mesti menjaga kebersihan di kantin dan menjalankan aktiviti kawalan serangga serta haiwan perosak kerana pelaksanaan tersebut merupakan antara skop kontrak serta tanggungjawab operator kantin dengan pihak hospital. — Bernama

Loading...

No comments