Header Ads

Bersatu belum buat keputusan lebar sayap ke Sabah, kata PM


GEORGE TOWN — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat keputusan untuk melebarkan sayap ke Sabah, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi terlebih dahulu.

Loading...

“Kita buat keputusan dalam mesyuarat. Kita adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi dulu (sebelum membuat apa-apa keputusan melebarkan sayap ke Sabah),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman, Datuk Hajiji Noor bahawa Bersatu akan melebarkan sayapnya ke Sabah tidak lama lagi,

Susulan itu, Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata perkara tersebut diharapkan tidak berlaku memandangkan Warisan dan Bersatu sudah mencapai kesepakatan tentang hal berkenaan.

Mengulas perkembangan lain, Dr Mahathir berkata beliau belum mendapat maklumat penuh mengenai isu sijil akademik Timbalan Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya.

“Kami belum mendapat maklumat apa yang sebenarnya berlaku,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Perhimpunan Perdana Perpaduan 2019 bersempena sambutan Hari Perpaduan Negeri Pulau Pinang dan Ulang Tahun Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang ke-15 di Dewan Sri Pinang di sini.

Pada 4 Februari lepas, aktivis politik Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon yang mendakwa program pengajian jarak jauh  bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Marzuki tidak wujud di Universiti Cambridge.

Mengulas perkara itu, Marzuki dilaporkan berkata bersedia mengemukakan bukti pernah mengikuti pengajian dalam bidang tersebut di universiti berkenaan.

Bagaimanapun kelmarin, beberapa portal berita melaporkan Marzuki sebagai berkata beliau memperoleh ijazah itu daripada Cambridge International University di Amerika Syarikat, bukan Universiti Cambridge di England.

Sementara itu, kesemua 13 bahagian Bersatu di Pulau Pinang diketuai Setiausaha Bersatu negeri Azahari Aris menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Marzuki sebagai Pengerusi Bersatu Pulau Pinang dan Setiausaha Agung parti. — Bernama

Loading...

No comments


Loading...