Header Ads

Berang ditegur bakar sampah, penjaga tokong amuk dan tetak dua lelaki

    Gambar hiasan. 

BUTTERWORTH - Berang selepas ditegur kerana membakar sampah, seorang penjaga tokong mengamuk dan menetak dua lelaki menggunakan pisau pemotong daging di Wat Siam Mak Mandin, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian jam 6.30 petang itu telah mengakibatkan salah seorang daripada lelaki itu cedera di kepala dan memerlukan 17 jahitan, sementara seorang lagi luka di tangan kanan.

Loading...

Beliau berkata penjaga tokong berusia 57 tahun itu pada mulanya membakar sampah di kawasan terbuka di belakang tokong terbabit dan perbuatannya ditegur oleh kedua-dua lelaki itu yang memintanya memadamkan api itu.

“Teguran ini telah menyebabkan suspek naik berang dan terus menghayunkan pisau pemotong daging itu ke arah mangsa, menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dirawat,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek turut mengalami kecederaan di jari dan tapak tangan dan ditahan pada jam 11 malam ketika mendapatkan rawatan di hospital yang sama.


Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

 - Bernama
Loading...

No comments


Loading...