Header Ads

Bekas ahli lembaga pengarah Felda didakwa, terima ansuran kereta RM23,000


KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 14 tuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah lebih RM23,000, pada 2014 dan 2015 daripada sebuah syarikat percetakan.

Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, 56, yang juga bekas anggota Parlimen Kota Tinggi hadir ke mahkamah bersut hitam, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Loading...

Bagi pertuduhan pertama sehingga ke-14, Noor Ehsanuddin, sebagai seorang penjawat awam iaitu Ahli Lembaga Pengarah Felda yang bertugas di Felda, didakwa telah menerima bayaran ansuran kenderaan keseluruhan berjumlah RM23,540.68 bagi kereta bernombor WQP 329 miliknya melalui cek daripada Karya Hidayah Sdn Bhd, yang mana tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Noor Ehsanuddin dituduh melakukan kesemua pertuduhan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Taman Maluri, 250-252, Jalan Mahkota, Cheras, di sini antara 10 Feb 2014 dan 9 November 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Diana Nor Azwa mencadangkan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam  Datuk R. Thrichelvam yang mewakili Noor Ehsanuddin membantah syarat melapor diri di pejabat SPRM dengan alasan anak guamnya seorang ahli perniagaan yang sibuk dan tidak mempunyai masa untuk melapor diri.

Selain itu, Thrichelvam memberitahu mahkamah bahawa pasport anak guamnya telah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen Johor Baru, Johor pada Ahad lepas setelah didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah wang tunai dan tanah.

Nor Diana bagaimanapun berkata syarat itu seharusnya tidak menjadi masalah kerana tertuduh hanya dicadangkan melapor diri sekali pada setiap bulan.

Nor Diana turut memaklumkan tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok atas beberapa pertuduhan lagi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan serta menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.

Ahad lepas, Noor Ehsanuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Baru atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat percetakan itu pada 2013 dan 2014. — Bernama

Loading...

No comments