Header Ads

Waspada ‘Cinta Plastik’ warga asing terutama Pakistan – Imigresen


WARGA asing terutama Pakistan sanggup berkahwin dengan penduduk tempatan yang jauh lebih berusia, semata-mata mahu tinggal di sini dan membuka perniagaan.

Sehingga kini sebanyak 400 pasangan berkahwin dengan warga asing yang didaftarkan dengan Jabatan Imigresen.


Loading...
Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abdul Hamid berkata, bagi mengelak penduduk tempatan dijadikan mangsa oleh warga asing itu, pihaknya sentiasa mengadakan lawatan ke rumah serta premis perniagaan.

“Malah, setiap kali sebelum dan selepas permohonan permit dibuat, kita akan membuat lawatan terlebih dulu bagi memastikan pasangan yang berkahwin itu benar-benar menjalani kehidupan suami isteri.

“Jika setiap kali lawatan kita pergi seorang pasangan tiada, kita akan memanggil untuk datang ke pejabat bagi mengambil kenyataan.

“Mengikut peraturan setiap permohonan permit untuk tinggal di sini kita boleh membenarkan sehingga setahun, namun sekiranya kita curiga atau tidak berpuas hati, Jabatan Imigresen hanya meluluskan tiga hingga enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Setia Berjasa di Depot Imigresen di Tanah Merah, hari ini.

Azhar berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya membatalkan sebanyak 15 permohonan yang dibuat oleh warga asing kerana hanya menggunakan isterinya yang juga penduduk tempatan untuk membuka perniagaan.

“Kita akan melakukan lawatan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga asing itu tidak menggunakan penduduk tempatan.

“Kebanyakan warga asing berkenaan membuka perniagaan kedai runcit dan menjual karpet,” katanya. – HMetro

No comments