Header Ads

Tun Mahathir bertemu Macky Sall sebaik tiba di Dakar


DAKAR - Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Presiden Senegal Macky Sall sejurus selepas ketibaan beliau ke negara itu untuk menghadiri satu persidangan mengenai Afrika.

Pertemuan itu berlangsung di Istana Presiden di ibu negara Senegal pada Rabu.

Loading...

Turut hadir dalam pertemuan itu bagi pihak Malaysia ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Senegal Dr Shazelina Zainul Abidin.

Sall sebelum itu menyambut ketibaan Dr Mahathir, yang dalam rangka lawatan dua hari ke Senegal, di Lapangan Terbang Leopold Sedar Senghor.

Pemimpin Malaysia itu berada di sini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Kemunculan Afrika kali ketiga (ICEA-III) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf di sini, dari 17 hingga 19 Jan.


Dr Mahathir diiringi oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Perdana menteri merupakan satu-satunya ketua kerajaan luar Afrika yang mengambil bahagian dalam ICEA-III yang memberi tumpuan kepada mempromosi serta mengukuhkan peranan sektor swasta dalam pelan kemunculan Afrika.

Bertemakan ‘Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman’, persidangan itu menyediakan peluang kepada Dr Mahathir untuk menunjukkan kejayaan perkongsian awam-swasta di Malaysia. 

- Bernama

No comments