Header Ads

SUV Perodua Aruz dibuka untuk tempahan, harga antara RM72,200, RM77,200


Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) hari ini membuka tempahan bagi jentera terbaharunya daripada model kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Aruz yang turut akan dilancarkan secara rasmi dalam tempoh terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, model transformasi keempat dengan penetapan piawaian baharu itu ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance pada anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200.

Loading...

Perodua Aruz menawarkan lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.

“Model ini dijangka melengkapkan barisan produk kami yang sedia ada dan berdasarkan pakej produk yang ditawarkan, syarikat mensasarkan jualan purata bulanan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit untuk tahun 2019.

“Perodua Aruz turut ditetapkan dengan piawaian terbaharu iaitu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan, yang mana ia turut menerima pengiktirafan lima bintang bagi ujian Program Penilaian Keselamatan Kereta baharu di Asia Tenggara (ASEAN NCAP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor Kosmo online.

Menurut Zainal Abidin, turut menyumbang kepada penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP bagi model baharu itu adalah ciri-ciri seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA), sistem ISOFIX dan enam beg udara.

“Kesemua ciri berkenaan terdapat pada kedua-dua varian Perodua Aruz, manakala bagi varian Advance ia dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan selamat (ASA) yang dipertingkatkan atau dinamakan sebagai ASA 2.0.

“Menerusi ciri ASA 2.0, ia dapat mengesan pejalan kaki sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan kelajuan operasi yang dipertingkatkan sehingga 100 km/j untuk Amaran Pra-Pelanggaran dan 80 km/j bagi sistem Brek Pra-Pelanggaran,” ujarnya.

Beliau berkata, SUV berkenaan dikuasakan dengan enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dan Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi automatik melalui kawalan secara automatik (E-AT)

“Ia turut digabungkan dengan Sistem Melahu Eko (Eco Idle) untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l dan membolehkannya diiktiraf oleh kerajaan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Jentera ini turut dilengkapi lampu depan LED bersama fungsi Follow-Me-Home (lampu auto pada varian Advance) selain digayakan dengan rim aloi dua tona 17 inci pada ketinggian 220 milimeter (mm) dari aras tanah,” jelasnya.

Perodua Aruz dilengkapi akses pintar dengan butang penghidup enjin adalah standard manakala, bagi varian Advance ia tambah dengan lampu kabus dan rel bumbung sebagai penambah gaya.

Untuk penampilan lebih eksklusif varian Advance disempurnakan dengan kemasan kerusi kulit dan stereng yang dibalut dengan kawalan terima panggilan serta perakam video memandu bersepadu selain dilengkapi port HDMI, Smart Link, Bluetooth dan sistem navigasi.

No comments

Loading...
loading...