Header Ads

Sistem pilihan raya, bukti Malaysia negara yang demokrasi


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, amalan sistem pilihan raya di Malaysia membuktikan bahawa negara ini mendukung penuh demokrasi.


“Ramai orang akan menyangkal apa yang saya perkatakan ini kerana mereka berpendapat bahawa Malaysia tidaklah begitu demokratik tetapi saya ingin beritahu anda bahawa sejak mencapai kemerdekaan, ia telah mengadakan 14 kali pilihan raya dan tidak terdapat banyak rungutan mengenai pilihan raya itu melainkan yang terbaru ini.


Loading...

“Jadi dari sudut orang ramai memilih pemimpin mereka, Malaysia telah membuktikan bahawa ia adalah demokratik sehinggakan kepada perkara itu,” katanya ketika berucap pada perbincangan Oxford Union yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dari London awal hari ini.


Dr Mahathir semasa berucap berkata, pihak demokrat kini menjadi intoleransi terhadap sistem di negara lain yang mereka anggap sebagai pemerintahan diktator.


Beliau berkata, demokrasi tidak sepatutnya dipaksa ke atas orang ramai kerana mereka perlu diberi kebebasan membuat pilihan sendiri, dan tindakan memaksa negara untuk menjadi demokratik adalah tidak demokratik.


“Bila saya berkata ini, sudah tentu saya diingatkan bahawa saya sendiri adalah Perdana Menteri yang dituduh sebagai seorang diktator. Sudah tentu ramai percaya saya seorang diktator, apa lagi cara untuk anda tadbir sebuah negara melainkan bertindak sebagai seorang diktator?



“Saya ingin jelaskan bahawa dalam sejarah sesebuah negara, tidak terdapat seorang pun diktator yang meletakkan jawatan semasa masih berkuasa dan membenarkan orang lain mengambil alih. Diktator kebiasaannya tidak meletak jawatan atau bersara, mereka suka menjadi diktator sehingga akhir hayat,” katanya.


Meskipun demokrasi boleh dimanipulasi dengan banyak cara kerana ia begitu sukar dan rumit untuk dilakukan, Perdana Menteri berkata ia bagus memandangkan demokrasi membenarkan orang ramai untuk memilih kerajaan mereka sendiri.


Justeru itu, Dr Mahathir berkata beliau percaya bahawa demokrasi hanya boleh wujud dan membantu sesebuah negara untuk menuju kemakmuran sekiranya rakyat memahami apa itu demokrasi yang sebenarnya.


“Tetapi kita lihat sahaja cubaan sekarang ini untuk memaksa demokrasi ke atas semua negara di dunia. Demokrat menjadi intoleransi daripada sistem yang lain. Mereka mahu hapuskan sistem kerajaan yang lain hingga jika anda tidak berubah untuk menjadi demokrasi, negara anda akan diserang bagi menempatkan seorang pemimpin baru.


Mengimbas kembali semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun, Dr Mahathir juga berkongsi saat-saat apabila beliau dituduh melakukan kronisme apabila beliau membantu sektor swasta.


Katanya, kerajaan beliau telah bekerjasama baik dengan sektor swasta sebagai cara untuk memberi kekayaan kepada rakyat yang seterusnya membantu meningkatkan kekayaan untuk kerajaan.


“Kerajaan bijak dalam mengutip cukai tetapi jika orang ramai miskin daripada siapa ia harus kutip cukai. Kita mesti kayakan orang ramai terlebih dahulu dan jadikan perniagaan mereka mendapat keuntungan, barulah mereka boleh membayar cukai korporat dan cukai pendapatan. Di sinilah baru kerajaan mendapat wang.


- Bernama

No comments