Kata beliau rata-rata pemimpin PH melemparkan fitnah untuk mengaitkannya dan kerajaan BN di dalam kematian beberapa orang seperti Altantuya, Teoh Beng Hock, Kevin Morais dan Hussain Najadi.

Loading...


Bagaimanapun, katanya, mereka tidak dipanggil ditangkap di bawah akta hasutan ataupun dipaksa untuk bermalam di lokap.

“Walaupun PH sekali lagi mungkir janji manifesto mereka untuk mansuh akta hasutan tetapi jangan memilih kasih dan menggunakan akta ini untuk berulang kali menindas pemimpin dan penyokong pembangkang.

“Lokman sudah kena. Sebelum ini adik Lokman pun ditangkap dan direman 4 hari bulan Oktober dulu,” katanya dalam hantaran ke akaun Facebook beliau hari ini.

Teoh Beng Hock, kata Najib, ialah rakyat Malaysia dan beliau mati di dalam keadaan tragis, begitu juga dengan Allahyarham Mohd Adib.

“Rakyat berhak untuk menuntut kebenaran tentang kematian kedua-dua orang itu tanpa dipaksa untuk bermalam di lokap,” katanya.

Kata Najib, Ahli majlis tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengeluarkan kenyataan bahawa dia mengesyaki kerajaan PH cuba menyembunyikan kebenaran tentang kematian anggota bomba, Muhammad Adib.

Lokman, katanya, dipanggil untuk soal siasat oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan 1984, ditangkap, ditahan dan beliau bermalam di dalam lokap.

Semalam juga, kata beliau, ahli parlimen DAP Ramkarpal Singh mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mengesyaki kerajaan PH cuba menyembunyikan kebenaran (cover up) tentang kematian Teoh Beng Hock.

“Tetapi langsung tidak ada tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH kepada pemimpin DAP ini,” katanya.


Semasa pentadbiran BN, jelas beliau, iaitu pada tahun 2014 pihak polis juga pernah memanggil ketua DAP Lim Kit Siang di bawah akta hasutan untuk soal-siasat di atas kenyataan beliau yang mempersoalkan keputusan mahkamah mengenai kematian Teoh Beng Hock.

Pada masa itu, katanya, Kit Siang tidak ditangkap, tidak ditahan dan tidak didakwa juga.

“Pada ketika ini, Kit Siang tidak lagi menyoal mengenai kematian Teoh Beng Hock malah mengeluarkan kenyataan bahawa saya tidak bersalah di dalam kematian Teoh pada bulan Oktober tahun lepas,” katanya. - UTUSAN ONLINE