Header Ads

Sebutan semula kes bekas MB cabul remaja ditetapkan 15 Februari


Mahkamah Sesyen Kangar menetapkan 15 Feb untuk mendengar semula sebutan kes bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur, tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail menyerahkan dokumen kes itu kepada Shahidan, pagi ini.

Loading...

Shahidan, 68, yang diwakili peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan, tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi.

Shahidan, yang juga Anggota Parlimen Arau, didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga bahu seorang remaja perempuan berumur 15 tahun tujuh bulan dalam kereta di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 11.30 malam 20 Okt 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 8 Jan lepas. Ainul Shahrin menetapkan 18 Feb untuk penyerahan dokumen dan 25 Feb bagi mendengar sebutan semula kes itu selepas Shahidan tidak hadir untuk menerima dokumen kes kerana dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Pada 21 Okt lepas, seorang remaja perempuan yang merupakan penyanyi sebuah kumpulan busker yang ditaja Shahidan membuat laporan di Balai Polis Kangar mengenai dakwaan dia dicabul oleh Anggota Parlimen Arau itu namun menarik balik laporan berkenaan beberapa jam kemudian.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga dan remaja perempuan itu, Mohd Hapiz Rajali berkata mangsa dan keluarganya berhasrat untuk tidak meneruskan kes berkenaan.

- Bernama

No comments