Header Ads

Sebulan dipenjara, pemuda serik jadi pemandu pelancong

Foto Bernama

ALOR STAR — Rakyat Malaysia, Wan Mohamad Amirul Adib Wan Mohd Subhi  yang ditahan di Thailand kerana membawa ‘walkie-talkie’ dan membawa kenderaan tanpa permit, berterima kasih kepada rakyat negara ini yang telah menyalurkan sumbangan sehingga membolehkannya pulang ke tanah air.

Wan Mohamad Amirul Adib, 22, yang ditahan pada 14 Disember lepas ketika membawa tujuh pelancong Malaysia melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Thailand, dibebaskan daripada tahanan kelmarin setelah membayar wang jaminan yang ditetapkan sebanyak RM51,800.

Loading...

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudi memberikan sumbangan berjumlah lebih RM20,000 bagi mencukupkan jumlah wang jaminan yang diperlukannya sebanyak RM51,800 untuk membolehkan saya dibebaskan.

Ini merupakan kerja sampingan dan baru kali pertama menjadi pemandu pelancong untuk membawa masuk pelancong ke Thailand.

“Saya tidak sangka ia menjadi kenangan sedih kerana dimasukkan ke dalam penjara sementara menunggu jumlah duit jaminan cukup untuk membolehkan saya keluar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Lumba Kuda, di sini, semalam.


Katanya, jumlah wang jaminan yang tinggi itu memaksa keluarganya mengumpul wang dan menggadai barangan peribadi sebelum akhirnya terpaksa memohon bantuan dan sumbangan orang ramai.

Katanya, selepas wang jaminan itu mencukupi dia kemudian dibebaskan daripada Penjara Nathawee, Songkhla pada pukul 8 malam, Isnin lepas sebelum dibawa ke Balai Polis Sadao untuk urusan dokumentasi dan selepas semuanya selesai dia telah keluar dari pintu sempadan Thailand ke Malaysia pada pukul 5.30 petang, kelmarin.

Wan Mohamad Amirul Adib yang bekerja sebagai penasihat jualan berkata buat masa ini dia serik untuk menjejakkan kaki ke negara jiran itu selain menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara untuk mengambil tahu undang-undang sesebuah negara supaya tidak melakukan kesalahan seperti dirinya.

”Ambil tahu mengenai undang-undang itu penting...kadang-kadang kita tidak tahu perkara yang kita buat itu menyalahi undang-undang dan saya juga harap pihak-pihak yang terlibat dalam pelancongan supaya mengambil berat mengenai perkara ini,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Siti Zubaidah Saad, 48, berkata dia sangat terhutang budi kepada rakyat Malaysia khususnya Pegawai Menteri Besar Mohd Azril Ramli dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pendang yang banyak membantu untuk membebaskan anak ketiganya itu.

”Biar ini jadi pengajaran buat kita semua dan saya harap tiada lagi rakyat Malaysia yang perlu berdepan dengan situasi ini.

“Tempoh sebulan ini sangat memeritkan buat saya sekeluarga dan saya juga harap dia dapat berpindah dari Kuala Lumpur untuk tinggal bersama saya di sini,” katanya. — Bernama

No comments