Header Ads

Saya kecewa masalah begini masih berlaku di zaman Malaysia baharu - Manogaran


TANAH RATA - Calon PH PRK Cameron Highlands, M. Manogaran kecewa majlis makan malam amal yang sepatutnya diadakan di Dewan Serbaguna Tringkap esok dibatalkan tempahannya pada saat akhir, dipercayai hasil campur tangan pihak tertentu.

"Saya kecewa kerana kita masih menghadapi masalah sebegini di zaman Malaysia Baharu, dulu masa kita pembangkang sama juga, kita telah atur dan rancang majlis ini untuk penduduk sekitar Tringkap dan Kuala Terla dan ramai pembeli tiket pula terdiri daripada kalangan warga emas.

Loading...

"Saya minta jangan buat begini dan guna alasan politik kononnya dewan tidak dapat digunakan untuk program politik. Siapa tempah dahulu kena diberi kebenaran untuk buat program, kempenlah secara bersih, terbuka dan telus," katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Tringkap, hari ini.

Sementara itu Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan ini memberitahu dewan itu tidak boleh digunakan bagi majlis makan itu.


"Rasanya tidak munasabah langsung kerana difahamkan JKKK belum ditubuhkan sejak pilihan raya umum lepas, jadi dari mana datang jawatankuasa kena siasat.

"Dewan ini juga merupakan dewan orang ramai, bukan kepunyaan peribadi mana-mana pihak, ia didirikan atas derma orang ramai kawasan ini. 

Kita pun sudah jual 55 tiket bernilai RM60 setiap seorang dan tempat program terpaksa ditukar ke dewan di Kampung Raja," katanya.

Majlis makan malam itu diadakan bagi mengumpul dana kempen dan pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijadual hadir. 

- Bernama

No comments