Header Ads

Penahanan anak Mat Sabu dibuat secara telus, tiada 'double standard'



KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, yang ditahan kerana didapati positif dadah, Sabtu lalu dibuat secara saksama dan telus tanpa ‘double standard’ atau pilih kasih.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata tangkapan yang dibuat ke atas anak menteri terbabit menunjukkan polis tidak ‘memilih bulu’ ketika mengambil tindakan.

Loading...

“Tidak kira dia anak menteri atau tidak, kita akan ambil tindakan sama seperti pesalah lain.
“Kita jalankan prosedur yang sama ke atasnya dan kini sedang tunggu hasil ujian lanjut saringan air kencing oleh Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam sidang media sempena Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Pasar Chow Kit di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sedar ada pihak mempertikaikan mengapa ujian saringan berkenaan mengambil masa yang agak lama sehingga ada pihak mendakwa berlaku ‘double standard’.
“Tempoh masa itu bukan tertakluk kepada keputusan pihak polis, sebaliknya bergantung kepada jabatan berkenaan.
“Setiap hari mereka menerima lebih 60 sampel air kencing yang perlu diuji, sudah tentu ini akan mengambil masa selain ujian perlu dibuat secara teliti bagi memastikan tiada kesilapan jika kes dibawa ke mahkamah kelak,” jelas beliau.
Tambah beliau, walaupun pihaknya ada mengemukakan permohonan supaya proses ujian berkenaan dipercepatkan, tidak menjamin keputusan dapat diterima dalam masa terdekat.
BH Ahad lalu melaporkan anak lelaki Menteri Pertahanan dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di sini.

Anak ketiga Mohamad, Ahmad Saiful Islam, 31, ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob mengesahkan penahanan itu, bagaimanapun kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-Berita Harian

No comments

Loading...
loading...