Header Ads

Pahang tarik kenderaan milik kerajaan negeri, timbalan menteri pinjam letak logo Pakatan


KUANTAN — Kerajaan Pahang menarik semula kenderaan pacuan empat roda milik kerajaan negeri yang digunakan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang tular di laman sosial hari ini.

Setiausaha kerajaan negeri Pahang Datuk Seri Salehuddin Ishak berkata kenderaan itu sebenarnya dipinjamkan kepada sebuah kementerian bagi kegunaan rasmi seorang timbalan menteri.


Loading...
“Walaubagaimanapun, selepas dilekatkan lambang satu parti, saya telah mengarahkan supaya kenderaan tersebut diambil semula serta-merta,” katanya dalam kenyataan di akaun rasmi Facebook beliau hari ini.

Salehuddin berkata penjelasan itu dibuat selepas beliau dihujani pertanyaan oleh netizen mengenai gambar yang tersebar menunjukkan sebuah kenderaan milik kerajaan negeri dilekatkan dengan logo sebuah parti bertanding pada PRK Cameron Highlands.

Gambar tersebut yang tular hari ini turut mendapat reaksi pemimpin pembangkang termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang secara sinis berkata beliau terfikir mahu memandu uji kenderaan tersebut.

Khairy saran peraturan baru kempen

Sementara itu, di Tanah Rata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional(BN) perlu duduk semeja untuk menggubal dasar baharu pilihan raya supaya segala peraturan pilihan raya menjadi lebih jelas kepada semua pihak, kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia penting dalam melihat semula beberapa isu, antara lain seperti penggunaan jentera kerajaan dan penganjuran program-program melibatkan anggota kabinet ketika tempoh berkempen sesuatu pilihan raya berlangsung.

"Ini adalah antara pembaharuan yang saya cadangkan untuk pastikan perkara ini jelas, apa boleh dan apa tidak boleh," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga anggota parlimen Rembau, Negeri Sembilan turun membantu kempen BN bagi pilihan raya kecil Cameron Highlands di beberapa lokasi, di sini, sejak awal pagi tadi.

Mengulas mengenai PRK berkenaan, bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau melihat pilihan raya berkenaan boleh jadi kayu ukur kepada penerimaan rakyat terhadap PH sejak gabungan berkenaan meneraju kerajaan pusat.

"Maka sebab itu Tun Mahathir Mohamad (perdana menteri yang juga pengerusi PH) rasa penting untuk beliau sendiri turun berkempen," katanya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Ramli Md Nor, M Manogaran (PH) dan dua calon Bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib. — Bernama

No comments