Header Ads

Najib nafi jumpa Altantuya, kata sepupu tipu

Najib Razak - Foto oleh Astro Awani

Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menafikan pernah berjumpa Altantuya Shaariibuu, yang mati dibunuh, seperti didakwa sepupu wanita Mongolia itu.

Menyifatkan dakwaan itu yang dibuat di mahkamah hari ini sebagai “fitnah”, bekas perdana menteri menegaskan sudah bersumpah berhubung perkara tersebut, lapor Malaysiakini.


Loading...

“Itu fitnahlah. Tipu. Saya tidak pernah jumpa dia. Saya dah sumpah dalam masjid,” katanya, merujuk sumpahnya di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 22 Ogos 2008.

Beliau, waktu itu timbalan perdana menteri, bersumpah tidak mengenali Altantuya dalam suasana kempen pilihan raya kecil (PRK) kerusi parlimen tersebut.

Di mahkamah, Burmaa Oyunchimeg mendakwa sepupunya pernah menunjukkan gambar percutiannya di Paris bersama ahli perniagaan Abdul Razak Baginda dan timbalan perdana menteri bernama “Razak”.

Sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg - Foto oleh Mukhriz Haz



“Saya masih ingat gambar melihat gambar tiga orang, dua lelaki dan Altantuya.

“Saya bertanya siapa mereka, dan dia kata salah seorangnya timbalan perdana menteri dan seorang lagi Razak yang bekerja dan menjalankan perniagaan bersamanya,” katanya.

Beliau memberi keterangan dalam kes saman bapa mangsa bunuh itu Shaariibuu Setev terhadap dua pesalah kes tersebut, Abdul Razak dan kerajaan Malaysia.

Burmaa membuat dakwaan tersebut ketika memberi keterangan sebagai saksi dalam saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya susulan kematian mendiang.

 Altantuya mati dibunuh pada Oktober 2006 apabila kepalanya ditembak dan mayatnya diletupkan.


Dua anggota polis elit dari unit tindakan khas (UTK) Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar kemudian didapati bersalah kerana membunuh wanita berkenaan manakala Abdul Razak dibebaskan daripada tuduhan bersubahat terhadap kes pembunuhan itu.

Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Razak Baginda dan Kerajaan Malaysia, dengan menuntut pampasan RM100 juta.


No comments