Header Ads

Naib presiden Bersatu: Cadangan beri kontrak berasas, tepat pada masa


Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman menyifatkan tindakannya yang mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan dalam perhimpunan agung tahunan parti baru-baru ini sebagai berasas, dibuat di tempat yang betul dan pada masa yang tepat.


Loading...
Katanya, sebagai naib presiden beliau hanya menyuarakan apa yang diluahkan ketua-ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara.

"Apa saya sebut itu tidak ada skrip, tetapi spontan. Saya terfikirkan perkara itu kerana ramai ketua bahagian dan cawangan datang kepada saya berkongsi masalah mereka, bukan Kelantan sahaja tetapi seluruh negara. Sebagai naib presiden, saya rasa perlu suarakan perkara ini.

"Bagi saya, kita berpijaklah di bumi nyata. Kalau kita tidak ada duit, (maka) tidak adalah. Dalam memberi khidmat kepada masyarakat, kita tidak boleh berjimat. Takkan kita nak ulangi kepincangan kerajaan dulu? Kita nak rakyat sokong kita secara berterusan, bukan sepenggal sahaja," katanya.

Abdul Rashid berkata, ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara sering mengadu kepadanya yang tidak mempunyai dana dan sukar melaksanakan program di kawasan masing-masing.

Terdahulu, Abdul Rashid yang tiba dari Kuala Lumpur disambut anggota dan pemimpin Bersatu negeri, termasuk pengerusi Kamaruddin Md. Noor, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kubang Kerian, di Kota Bharu hari ini.

Dalam perhimpunan agung tahunan Bersatu Ahad lalu, Abdul Rashid mengemukakan cadangan supaya kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan bagi membolehkan mereka menambah dana untuk menggerakkan parti.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, beliau kesal kerana dikecam pelbagai pihak dan dilabel pelbagai gelaran termasuk menjaga kroni tanpa diberi kesempatan memperincikan dan menjelaskan cadangan tersebut.

Mengenai desakan supaya beliau meletak jawatan sebagai naib presiden kerana menjejaskan reputasi parti, Abdul Rashid berkata, tidak ada sebab untuk berbuat demikian.

“Ia hanya desakan luar yang tiada kaitan dengan Bersatu dan bukan dari dalam parti.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, Bersatu Kelantan berdiri di belakang Abdul Rashid dan menyokong Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu itu dalam menyampaikan suara hati pemimpin akar umbi supaya didengari pucuk pimpinan parti.

-Bernama

No comments

Loading...
loading...