Header Ads

Mesyuarat JMCIM diadakan pada awal tahun - Azmin



SINGAPURA: Tiada ketetapan tarikh baharu dibincangkan dengan pihak Singapura bagi Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) Ke-14 yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagaimanapun, mesyuarat itu boleh diadakan dalam masa terdekat dan pada awal tahun ini juga.

Loading...

“Ia juga tertakluk kepada hasil perbincangan yang akan saya kemukakan kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Jemaah Menteri,” katanya kepada Bernama sebelum berlepas pulang ke Malaysia hari ini.
Beliau berada di sini sejak semalam untuk lawatan dua hala walaupun mesyuarat JMCIM itu ditangguhkan.
Lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian untuk melihat anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di kapal MV Pedoman, kapal induk jabatan itu di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura tidak disenangi republik ini dan menyebabkan mesyuarat JMCIM ditangguhkan.
Mohamed Azmin berkata lawatan ke Singapura tetap diteruskan untuk membuktikan kedua-dua negara bersedia untuk meneruskan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian walaupun berdepan dengan beberapa isu.
“Saya juga sudah mengambil pendirian bahawa janganlah hanya satu kenyataan akan menyebabkan kita tersasar daripada objektif dan matlamat besar kedua-dua negara. Ini dapat kita tangani dengan perbincangan antara kedua belah pihak,” katanya.
Beliau menyifatkan pertemuannya dengan tiga menteri Singapura ‘berjalan dengan baik dalam semangat untuk menyelesaikan masalah dan perbincangan itu positif dan produktif.’
Mohamed Azmin menemui Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan pada petang semalam, disusuli Menteri Pembangunan Negara Singapura, Lawrence Wong dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan pada pagi ini.
Beliau dan Wong sepatutnya mempengerusikan bersama mesyuarat JMCIM untuk Iskandar Malaysia itu.
Ditanya sama ada kedatangan beliau di sini dapat meredakan ketegangan antara kedua-dua negara, Mohamed Azmin berkata : “Ini tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan hari ini di mana kita mahu membina hubungan dua hala yang cukup baik dengan semua negara khususnya negara ASEAN dan republik Singapura.”
Katanya, Singapura dan Malaysia bukan sahaja berjiran tetapi mempunyai hubungan kekeluargaan yang kuat sejak beberapa dekad lalu.
“Oleh itu, isu-isu ini boleh diselesaikan jika kita dapat terus mempertahankan semangat saling hormat-menghormati dan saling mempercayai. Ini yang sedang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini untuk melihat hubungan Malaysia-Singapura terus diperkukuh,” katanya.

Singapura dan Malaysia dalam proses menyelesaikan perselisihan maritim di Tuas dan isu ruang udara Pasir Gudang.
Terdahulu, dalam catatan terbaharunya di laman Facebook, Mohamed Azmin berkata: “Keputusan rundingan HSR (Keretapi Berkelajuan Tinggi) yang membuahkan hasil beberapa bulan lalu menyediakan asas kepada hubungan kerja yang positif untuk menyelesaikan isu.”
Mengulas mengenai keupayaan terkini kerajaan untuk membayar kos abortif sebanyak S$15 juta (RM45.44 juta) kepada kerajaan Singapura pada 31 Januari ini berikutan penangguhan projek HSR, beliau berkata : “Ya, kita mampu untuk membayarnya.” – BERNAMA

No comments

Loading...
loading...