Mayat mangsa masih sempurna biarpun terperangkap hampir tiga hari
Mayat mangsa dalam kemalangan sebuah kenderaan utiliti sukan
(SUV) yang terhumban ke dalam laut Ahad lepas ditemukan dalam keadaan masih
sempurna biarpun terperangkap di dalam kenderaan itu hampir tiga hari.
Loading...
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata
mayat yang dikenalpasti sebagai pelajar kolej swasta, Moey Yun Peng, 20 tahun
masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan itu selepas ianya berjaya
dikeluarkan dari laut kira-kira pukul 6.00 petang tadi di Kilometer 4, Jambatan
Pulau Pinang di sini.
“Kereta remuk teruk akibat kemalangan, namun (keadaan)
fizikal mangsa masih sempurna dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang,”
katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Menurutnya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang
Jaya untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk
pengebumian.
Katanya operasi untuk mengeluarkan kenderaan itu mengambil
masa selama tiga hari dan berdepan beberapa kesukaran yang antaranya termasuk
cuaca dan arus laut yang deras.
Sementara itu, usaha mengeluarkan sebuah kenderaan utiliti
sukan (SUV) jenis Mazda CX5 dari laut setelah terhumban ke dalamnya dari
Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas mengambil masa lebih 24 jam
berikutan faktor keselamatan para penyelam operasi menyelamat itu.
Koordinator SAR Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim
(MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim
Rozali Mohd Said berkata keadaan kereta yang teruk dengan serpihan tajam turut
mengundang bahaya kepada kumpulan penyelam yang terlibat.
"Ramai (orang awam) mempertikaikan usaha menaikkan
kereta terhumban itu mengambil masa lama iaitu lebih 24 jam. Sebenarnya kami
perlu mengambil kira keselamatan penyelam.
"Selain itu faktor arus deras dan penglihatan yang
terhad di dasar laut turut menjadi kekangan kepada pasukan penyelam untuk turun
ke kereta mangsa bagi memasang kabel bagi membolehkan kren menarik kenderaan
tersebut ke atas Jambatan Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar
semalam
Katanya kejayaan operasi sejak hari Ahad, adalah hasil
kerjasama lima agensi terdiri 169 orang pegawai dan anggota APMM, Pasukan Polis
Marin, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan
Pertahanan Awam.
Rozali berkata pasukan operasi itu melakukan dua percubaan
sebelum berjaya menaikkan kereta bersama mayat pemandunya ke atas Jambatan
Pulau Pinang kira-kira pukul 6.07 petang tadi. - Bernama
Post a Comment