Header Ads

Kemelut Bersatu Perlis: Tindakan susulan lepas siasatan selesai, kata Mukhriz


Tindakan susulan berhubung kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis hanya akan dibuat selepas hasil siasatan sepenuhnya diperoleh dalam masa terdekat, kata Timbalan Presiden parti, Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan mengenai penggugurannya yang dibuat atas faktor yang membabitkan krisis integriti kepemimpinan Bersatu Perlis itu perlu diambil serius berikutan laporan polis telah dibuat.

Loading...

"Kita (Bersatu) sangat tekankan soal integriti dan apabila ada dakwaan serius seperti itu siasatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Atas sebab itu ibu pejabat Bersatu yang diketuai Setiausaha Agungnya Marzuki Yahya, telah mengambil alih kepimpinan Bersatu Perlis serta-merta.

"Tindakan ini diambil kerana hendak redakan keadaan selain bagi membolehkan siasatan dimulakan dan semua jawatan di kepimpinan Bersatu Perlis juga dibekukan termasuk tindakan pengguguran Wan Saiful sebagai Setiausaha," katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

Sebelum ini, Ibu Pejabat Bersatu mengambil alih kepimpinan Bersatu Perlis berikutan kemelut dalaman yang melanda parti di negeri itu selepas keputusan dibuat dalam mesyuarat bersama Presiden parti, Muhyiddin Yassin, semalam mengikut Fasal 14, Perlembagaan Bersatu bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

Kemelut bermula selepas pengguguran Wan Saiful, dengan alasan faktor kesihatan, namun Wan Saiful kemudian mendakwa pengguguran itu dibuat atas faktor lain yang membabitkan krisis integriti kepemimpinan Bersatu Perlis. - Bernama

No comments

Loading...
loading...