Header Ads

JTK - Majikan di negeri sabah digesa patuhi perintah gaji minimum


KOTA KINABALU – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah menggesa semua majikan di negeri ini mematuhi pelaksanaan kadar gaji minimum yang diseragamkan di seluruh negara iaitu sebanyak RM1,100 atau RM5.29 sejam yang berkuat kuasa pada 1 Januari lepas.

Pengarah JTK Sabah Kamal Pardi berkata majikan yang gagal mematuhi pelaksanaan gaji minimum itu akan dikenakan tindakan undang-undang buruh dan Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.

Loading...

“Pekerja yang tidak dibayar gaji mengikut kadar baharu yang ditetapkan diminta untuk melaporkan ke pejabat tenaga kerja yang berdekatan bagi membolehkan tindakan susulan dapat diambil,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan pelaksanaan perintah gaji minimum itu, JTK telah menjalankan pemeriksaan terhadap majikan di Sabah sejak awal Januari melalui 15 pejabat cawangannya bagi memastikan setiap majikan mematuhi arahan berkenaan.


Beliau berkata perintah gaji minimum itu terpakai kepada semua pekerja tempatan dan pekerja bukan pemastautin kecuali pekerja domestik seperti pembantu rumah.

Sementara itu, Kamal berkata sepanjang tahun lepas sebanyak 13 majikan telah didakwa dan denda bernilai RM37,450 atas kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara. Sebanyak 1,000 notis pematuhan turut dikeluarkan daripada 7,136 majikan yang telah diperiksa.

“Melalui operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan, sebanyak 234 kertas siasatan dibuka dan 91 kertas siasatan telah mendapat izin kompaun dengan tawaran sejumlah RM315,000 terhadap majikan,” katanya.

- Bernama

No comments


Loading...