Header Ads

Jasa Najib masih dikenang peneroka di Jelai


Walaupun terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun jasa Datuk Seri Najib Razak tetap dikenang peneroka di Jelai.

Rata-rata pengundi di situ, dalam kawasan parlimen Cameron Highlands, menyedari kes 1MDB tetapi nama baik bekas perdana menteri itu masih dalam ingatan mereka, lapor Malaysiakini.

Loading...

Mohd Fadzil Suparman, 49, mengakui Najib dulu sedaya upaya menyelesaikan masalah peneroka Felda secepat mungkin berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

“Kes Najib yang dibawa ke mahkamah pun bukan macam kes liwat atau bukan kes bunuh. Kes pecah amanah, menyeleweng dana. Kes dia itu saja, bukan?

“Dia buat pun dia tak lupa rakyat, dia janji lagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) bagi RM2,000 kalau dia menang,” katanya di Felda Sungai Koyan 3.

Norazmi Mohd Alias Mokhtar, 53, pula mengakui jasa Najib memberi bonus kepada peneroka generasi kedua sekali gus menyuarakan rasa tidak berpuas hati kepada PH.

“Dulu tak ada masalah bayaran bulanan, bonus. Masing-masing boleh berangan nak beli rumah, kereta baru,” katanya, yang mengakui peneroka kini sedang berjimat.

“Sekarang ini keadaan memberi tekanan kepada peneroka sebab banyak barang yang nak beli terpaksa ditangguh.”

Bersetuju dengan pendapat Norazmi, penduduk Felda Sungai Koyan 1 yang dikenali Ida sahaja mahu Najib kembali mentadbir negara walau beliau bukan perdana menteri terbaik.

Menetap di Felda itu sejak 20 tahun lalu, Ida berkata kerajaan Barisan Nasional “lebih baik” daripada kerajaan PH malah mendakwa nasib mereka kini terabai sekarang.

“Najib bukan yang terbaik tapi dia lebih baik daripada PH. Sekurang-kurangnya dia jaga kebajikan orang Melayu. Sekarang ni kakak penyokong PAS,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga merasai tekanan susulan pendapatannya dari hasil ladang susut hingga RM2,000 dan terpaksa menyara dua daripada lima anaknya yang masih belajar.

Justeru, Ida telah memutuskan untuk mengundi calon BN Ramli Mohd Nor, bekas pegawai polis dari suku kaum Semai, kerana calon itu beragama Islam.

No comments