Header Ads

JAKIM luluskan 7,204 sijil halal sehingga januari tahun ini


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meluluskan sijil halal Malaysia kepada 7,204 syarikat sehingga Januari tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof berkata Jakim telah membuka peluang pensijilan antarabangsa untuk pengilangan kontrak dan kilang di luar negara untuk mendapatkan pensijilan halal Malaysia.

Loading...

Beliau berkata Jakim juga mengiktiraf 75 Badan Persijilan Halal Luar Negeri serta Pihak Berkuasa Halal dari 43 negara.

"Industri halal telah menarik minat di seluruh dunia, bukan hanya negara Islam, malahan negara-negara lain yang mempunyai penduduk Islam.

"Pengguna tertarik terhadap produk halal kerana ia mengesahkan bahawa penyediaan makanan adalah selamat dan bersih untuk dimakan," katanya kepada pemberita pada prapelancaran Sidang Kemuncak Halal Global (GHas) 2019 bertema Halal Menghubungkan Dunia, di sini, malam tadi.

Mujahid berkata GHas merupakan nama baharu acara tahunan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Minggu Halal Dunia, yang akan berlangsung dari 1 April hingga 6 tahun ini di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur dan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

GHas juga akan diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan diketuai Jakim.

Bagi GHas 2019, Mujahid berkata penganjur menyasarkan 3,000 peserta dari 130 negara.

"Acara itu membabitkan enam program utama, dengan empat daripadanya dipelopori oleh Jakim.

"Acara ini termasuk program pembangunan kapasiti latihan halal antarabangsa, konvensyen badan pensijilan halal, perhimpunan agung halal antarabangsa dan Kongres Antarabangsa Halal Global," katanya.

Menurutnya, dua lagi acara ialah Persidangan Halal Dunia yang akan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia. 

- Bernama

No comments